IPOH – Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Perak (PPPBP) mengalu-alukan usaha kerajaan untuk membangun dan menaiktaraf lapangan terbang kurang berdaya saing termasuk Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), dekat sini.
Yang Dipertua PPPBP, Zamari Muhyi berkata, usaha berkenaan dilihat mampu membuka ruang dan peluang kepada pemain industri pelancongan dalam menerima lebih ramai kedatangan pelancong dari luar negeri.
“Buat masa ini masih terlalu jauh untuk kita merealisasikan pembinaan lapangan terbang yang baru kerana ia tidak semudah yang kita fikirkan.
“Oleh yang demikian jalan yang terbaik adalah menaiktaraf kemudahan lapangan terbang sedia ada dengan rupa bentuk yang baru tanpa menjejaskan strukturnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Perak berkata, usaha berkenaan turut dilihat dapat membantu merancakkan lagi ekonomi 95 hotel di seluruh negeri.
Menurutnya, MyBHA Perak pada masa kini menyediakan lebih daripada 2,500 bilik kepada para pelancong yang akan bermalam di negeri ini.
Artikel berkaitan:
“Tahun Melawat Perak akan diraikan pada tahun 2024 dengan sasaran 11 juta pelancong dan Tahun Melawat Malaysia telah ditetapkan semula pada tahun 2026 dengan sasaran pelancong asing.
“Kami merasakan inilah waktu dan masa yang sangat tepat untuk dilakukan menaiktaraf LTSAS.
“Kami menyokong penuh inisiatif kerajaan negeri dan memohon agar Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan mempercepatkan pembangunan dan menaiktaraf lapangan terbang itu,” ujarnya lagi. -MG Perak