IPOH – Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) telah melaksanakan penstrukturan semula organisasi di peringkat cawangan mengikut negeri bagi memperkukuh penyelarasan dasar, meningkatkan kecekapan pengurusan serta menghapuskan budaya kerja secara silo antara perkhidmatan negeri dan Persekutuan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, sebelum ini gerak kerja persatuan di peringkat negeri dilaksanakan berdasarkan pembahagian zon geografi, namun pendekatan tersebut telah ditambah baik menerusi struktur baharu yang lebih holistik.
”Menyedari keperluan terhadap penambahbaikan strategik, penyelarasan dasar yang lebih efisien dan pengurusan ahli yang lebih sistematik, PPTD peringkat cawangan telah distruktur semula secara rasmi mengikut negeri masing-masing bermula pada tahun 2024.
“Melalui penstrukturan baharu yang lebih holistik, PPTD Cawangan Perak kini bertindak sebagai payung besar yang menaungi dan merangkumi keseluruhan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang sedang berkhidmat di pelbagai agensi di negeri ini.

“Transformasi ini melibatkan proses integrasi antara pegawai-pegawai daripada perkhidmatan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Perak mahupun rakan-rakan kita daripada perkhidmatan kerajaan Persekutuan yang ditempatkan di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di seluruh pelosok negeri ini.
“Penyatuan ini amat kritikal bagi memastikan tiada lagi jurang atau budaya kerja secara ‘silo’ yang memisahkan antara perkhidmatan peringkat negeri dan persekutuan dalam era pentadbiran moden ini,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Cawangan Perak Kali Ke-3 Tahun 2026 yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Suaidi mengingatkan ahli persatuan bahawa sempadan pentadbiran tidak sepatutnya menjadi dinding pemisah kepada matlamat utama dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk negara.
“Dengan runtuhnya tembok pembatas ini, kita berjaya memperkukuh solidariti, menyatukan pemikiran dan membina satu jambatan kerjasama yang erat sebagai sebuah keluarga besar penjawat awam yang dinamik di Negeri Perak,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan pantau BDR penjawat awam, pastikan integriti terpelihara


