TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir berhasrat untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Dr Mohamad Yusri Bakir atau lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri berkata, hasrat itu juga sama sebagaimana yang pernah dinyatakan bekas penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Sebagai individu yang mempunyai latar belakang pendidik, beliau berkata usaha itu secara langsung akan membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
“Sebelum ini memang ada perancangan ke arah itu, dan saya selalu menyebutkan bahawa bahawa pendidikan mampu mengubah modal insan masyarakat ke arah yang lebih baik.
“Oleh itu, sekiranya saya diberi mandat untuk membantu mengekalkan BN di DUN Ayer Kuning, ia akan menjadi keutamaan kita sebagai sebahagian daripada anggota kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada siri kempen beliau bersempena PRK DUN Ayer Kuning di Pasar Awam Ayer Kuning, dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon serta Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.
Ustaz Yusri sebelum itu ditanyakan pemberita berkenaan perancangan mewujudkan institusi TVET seperti GIATMARA sekiranya berjaya memenangi kerusi di DUN Ayer Kuning.
Mengulas lanjut beliau berkata, rangka perancangan ke arah itu sememangnya pernah dirancang Ishsam namun ia belum berkesempatan untuk dilaksanakan atau di bawa ke peringkat lebih tinggi.
“TVET yang menjadi sebahagian daripada pendidikan merupakan teras yang sering ditekankan Allahyarham Ishsam di Ayer Kuning, selain daripada kemudahan infra untuk keselesaan rakyat,” kata beliau lagi.
Pada PRK DUN Ayer Kuning, Ustaz Yusri berdepan saingan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek serta Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Ia diadakan susulan susulan kekosongan kerusi berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Isham pada Februari lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan: