PRK Nenggiri: BN Perak gerak jentera orang Asli bantu kempen

IPOH – Jentera orang Asli digerakkan Barisan Nasional (BN) Perak sebagai pendekatan membantu kempen calon parti BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya diberi tanggungjawab untuk membantu perjalanan kempen di tiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk dua PDM kawasan Orang Asli iaitu di Sungai Puian dan Pos Simpor.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak memberitahu, satu lagi PDM yang terlibat adalah di Sungai Asap iaitu di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

“Pendekatan kali ini berbeza dengan sisi kempen PRK sebelum ini kerana melibatkan kawasan penempatan Orang Asli.

“Ia agak sukar untuk diadakan program ceramah kerana susah untuk mengumpulkan ramai orang, dan untuk itu kita mengambil pendekatan berkempen dari rumah ke rumah.

“Oleh sebab itu, kita gerakkan kumpulan Orang Asli dari Negeri Perak sendiri. Petugas ini akan pergi rumah ke rumah, malah secara kebetulan mereka juga ada keluarga di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak ‘Belang Tarung Tiga Warna’ Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Ahad.

PRK Nenggiri calon BN Perak gerak jentera Orang Asli bantu kempen parti
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengibarkan bendera negeri Perak pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak “Belang Tarung Tiga Warna” Kontinjen SUKMA Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.
Turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 OGOS 2024.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Difahamkan seramai 55 orang petugas dari Jentera BN Perak termasuk 13 orang daripadanya merupakan Orang Asli yang dihantar bagi membantu jentera BN dalam siri kempen pada PRK DUN Nenggiri.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan PAS.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya daripada PAS merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos ini sebagai hari pengundian dan calon mempunyai 14 hari untuk mengadakan kempen mengikut jentera parti masing-masing.

PRK itu diadakan susulan kekosongan kerusi DUN yang diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.

Kerusi berkenaan sebelum ini disandang Mohd Azizi Abu Naim daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun keahliannya dalam parti digugurkan pada 13 Jun lepas. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

BN Perak sangkal dakwaan akan bertanding 18 kerusi DUN pada PRU16

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI