IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak meminta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) agar menilai semula dasar perlindungan industri terhadap kilang kenderaan elektrik (EV).
Ia susulan penghentian pelaksanaan projek pembinaan kilang pemasangan kenderaan oleh syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD di Tanjung Malim.
ADUN Behrang, Salina Samsudin berkata, syarat-syarat yang dikeluarkan MITI menerusi dasar berkenaan dikhuatiri akan mengurangkan keyakinan pelabur lain untuk datang melabur di negara ini khususnya di Perak.

“Apabila pelaburan (oleh BYD) terhenti (disebabkan ketidakmampuan memenuhi syarat MITI), mungkin pelaburan baharu agak sukar untuk kita tarik atau minat melabur di sini.
“Sedangkan di peringkat kerajaan negeri telah beri ‘fast track’ (laluan pantas) kepada projek seperti ini, namun susulan daripada syarat berkenaan, kita bimbang situasi itu terjadi.
“Dan sekarang tapak projek yang sudah dibersihkan itu kini sudah jadi kawasan tanah merah lapang yang hanya mencacatkan pemandangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Jumaat.
Sidang media berkenaan turut disertai ADUN Buntong, M Thulsi Thivani, Goh See Hua (Pasir Pinji), Jason Ng Thien Yong (Astaka), StevenTiw Tee Siang (Tronoh), serta Ong Seng Guan (Pokok Assam).

Menurut Salina, pelaburan oleh syarikat konglomerat multinasional terkemuka dunia itu menjadi harapan buat penduduk di Behrang yang bukan sahaja akan memberi impak positif kepada pembangunan di selatan Perak, malah ia juga akan melimpah ke kawasan di Hulu Selangor.
Kata beliau, selain peluang-peluang pekerjaan baharu, kewujudan projek itu juga sebelum ini mendapat reaksi positif dalam kalangan vendor tempatan yang merancang untuk bekerjasama dengan BYD.
“Anak-anak muda termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli amat menanti-nantikan pembangunan kilang itu untuk memenuhi permintaan dalam bidang automotif.
“Saya amat berharap agar pelaburan ini dapat diteruskan dan kita tidak mahu susulan daripada hal ini, pelaburan ini dibawa ke negara atau negeri ini.
“Sedangkan kerajaan negeri telah berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa pelaburan itu ke sini sebagai pemangkin kepada pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV),” ujarnya.

Pada masa sama Salina memaklumkan, pembangunan di tapak KLK TechPark Tanjung Malim itu juga telah berjaya menyelesaikan masalah banjir di DUN Behrang terutama di Kampung Kelawar yang sering terjejas dengan bencana alam itu.
“Kita berharap masih ada ruang perbincangan oleh MITI dan MIDA dalam hal ini agar dapat diberi kelonggaran terutama dalam kita yang sedang berhadapan dengan krisis tenaga global dengan EV menjadi pilihan kenderaan alternatif,” ujarnya.
Dalam pada itu Thulsi Thivani berkata, sekiranya pelaburan BYD tidak diteruskan ia dikhuatiri memberi kerugian kepada negeri khususnya dalam kalangan rakyat.
“Kita akan rugi dari segi aspek penambahan peluang pekerjaan kepada tenaga tempatan serta kebolehan untuk kita membeli teknologi EV antarabangsa pada harga yang kos yang lebih rendah,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


