Pusat Penyelidikan marin akan dibina di Pulau Sembilan – Exco

LENGGONG – Perak akan mewujudkan sebuah pusat penyelidikan ekosistem marin di Pulau Sembilan, di Bagan Datuk, sebagai usaha mengukuhkan pemuliharaan sumber berkenaan yang berdepan pelbagai ancaman melibatkan aktiviti manusia mahupun semula jadi.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, cadangan berkenaan akan dibincangkan dengan pelbagai agensi berkaitan dalam masa terdekat bagi memastikan ia direalisasikan susulan titah Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah berhubung perkara itu.

“Kami di pihak kerajaan negeri menjunjung titah berkaitan cadangan yang telah dikemukakan berkenaan ekosistem di Pulau Sembilan yang merupakan antara produk pelancongan unik di Perak.

“Cadangan ini akan diperhalusi bagi memastikan pusat penyelidikan itu dapat diwujudkan dan berperanan dalam membantu memulihkan ekosistem di pulau tersebut,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan Program Rainforest Challenge 2004 di Dataran Lenggong di sini hari ini.

Pada 30 Jun lepas, Raja Iskandar Dzurkarnain bertitah supaya satu pusat penyelidikan diwujudkan di Pulau Sembilan dan ia selari dengan hasrat kerajaan bagi memastikan pulau itu yang memiliki keindahan menakjubkan selain terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti marin terus dipelihara.

Loh berkata, ketika ini Pulau Sembilan masih ditutup daripada sebarang aktiviti pelancongan kepada umum ekoran kerja-kerja konservasi yang sedang dilaksanakan.

“Apa yang dimaklumkan melalui laporan Perbadanan Taman Negeri Perak, ekosistem di pulau berkenaan masih belum pulih dan memerlukan kerja konservasi secara berterusan sebelum boleh dibuka kepada umum,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihak berwajib yang bertanggungjawqb terhadap pulau terbabit juga melaksanakan pemantauan berterusan bagi menangani masalah pencerobohan nelayan asing dan tempatan. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI