TAIPING – Pelari denai dari Jepun, Yutaro Yokouchi tidak dapat menahan air mata selepas berjaya muncul juara kategori lelaki MY100 acara larian denai, Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2026 pada Sabtu.
Yutaro, 33, yang bersaing dalam acara 100 kilometer menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 12 jam 18 minit 44 saat untuk menduduki tempat pertama daripada 193 peserta kategori berkenaan.
Tempat kedua kategori sama dimenangi oleh Duyakar Bahar Duu dari Vietnam dengan catatan masa 13 jam 40 minit 19 saat diikuti tempat ketiga Hiroyuki Kawachi dari Jepun yang merekodkan masa 14 jam 09 minit 47 saat.
Ketika ditanya pemberita, Yutaro memaklumkan air mata yang mengalir selepas melintasi garisan penamat edisi ketiga Malaysia Ultra-Trail by UTMB itu adalah disebabkan kejayaan beliau menebus kegagalan selepas gagal menamatkan perlumbaan UTMB World Series di Thailand pada Mei lalu.
Katanya, kegagalan tersebut menyebabkan beliau sukar mempercayai kemampuan diri sendiri untuk tempoh yang agak lama sehingga kemenangan di Taiping menjadi titik kebangkitan semula dalam kariernya.
“Pada Mei lalu, saya tidak menamatkan perlumbaan UTMB World Series di Thailand dan selepas itu saya sukar untuk mempercayai diri sendiri selama beberapa bulan.
“Akhirnya di Taiping saya berjaya menang semula dan air mata ini adalah bukti kepada kejayaan saya menebus kegagalan di Thailand,” katanya kepada pemberita selepas berjaya menamatkan larian di Dataran Warisan, di sini.

Pelari kelahiran Kobe yang kini menetap di Tokyo itu berkata, perasaan tersebut menjadi lebih kuat apabila beliau akhirnya berjaya menamatkan perlumbaan yang mencabar dan muncul juara MY100.
Yutaro berkata, pada awal perlumbaan beliau menyasarkan untuk menamatkan saingan dalam tempoh 12 jam dan berada mengikut perancangan sehingga 20 kilometer terakhir.
Bagaimanapun, pendakian terakhir yang sangat mencabar menyebabkan beliau ketinggalan kira-kira 15 minit daripada sasaran asal.
“Namun, itu tidak mengapa kerana hari ini saya tidak fokus kepada masa sebaliknya saya mahu gelaran. Hanya gelaran,” katanya.
Mengulas mengenai laluan di Taiping, Yutaro mengakui cabaran paling getir hadir menerusi pendakian pada penghujung perlumbaan, selain laluan menuruni bukit yang menggunakan permukaan konkrit.
“Saya boleh berlari kira-kira 60 peratus daripada laluan. Saya suka laluan ini, tetapi pendakian terakhir memang sangat sukar.
“Pendakian pada permulaan juga sangat mencabar dan ada ketika saya terpaksa berhenti ketika mendaki,” katanya.
Kemenangan itu merupakan kemenangan kedua Yutaro dalam UTMB World Series selepas beliau menjuarai perlumbaan bagi kategori 50 kilometer di Thailand tahun lalu, namun kejayaan di Taiping adalah kemenangan pertamanya dalam kategori 100 kilometer.
Yutaro berkata, beliau mahu terus meningkatkan kemampuan dalam jarak lebih jauh dan merancang mencuba perlumbaan 100 batu pada tahun depan.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan impian terbesar dalam karier larian trailnya adalah untuk menamatkan perlumbaan di podium Western States. -MG Perak


