TAIPING – Sebanyak 310 kes kecurian kabel dan vandalisme fasiliti rangkaian telekomunikasi direkodkan di seluruh Perak sehingga Jun lalu, dengan daerah Kinta antara kawasan mencatatkan jumlah kes tertinggi.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 125 kes telah dituduh di mahkamah, manakala 67 kes dibuka kertas siasatan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini juga ada kes yang masih dalam siasatan termasuk di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ini membawa denda sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun, jika sabit kesalahan.
“Dalam erti lain, akta ini cukup berat bagi seseorang individu ataupun satu kumpulan yang menyentuh atau dengan sengaja melakukan sabotaj terhadap alat telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Cabaran Kod Morse Peringkat Negeri Perak 2026 di Kompleks Telekom Malaysia (TM) Taiping, pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan; Ketua Pegawai Korporat Kumpulan TM, Nor Fadhilah Mohd Ali; serta Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Negeri, Shakirah Rashid.

Menurut Mohd Azlan, kerajaan negeri memandang serius ke atas kegiatan tidak bertanggungjawab itu berikutan kerosakan terhadap infrastruktur telekomunikasi boleh menjejaskan liputan dan tahap ketersambungan di sesuatu daerah.
Beliau berkata, terdapat kes membabitkan individu tidak bertanggungjawab yang merosakkan kabel fiber ketika melakukan perbuatan vandalisme di lurang telekomunikasi.
Justeru ujar beliau, antara langkah diambil kerajaan negeri adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Telekomunikasi dan Rangkaian bagi melindungi aset telekomunikasi semua penyedia perkhidmatan di Perak.
“Ini bukan lagi soal vandalisme biasa, ini vandalisme fasiliti komunikasi, dendanya lebih berat, aktanya lebih berat dan hukumannya pun berat.
“Jadi, saya sarankan agar mana-mana pihak di luar sana mengelakkan daripada mengeksploitasi atau sengaja merosakkan sebarang aset telekomunikasi,” katanya.
Mohd Azlan turut menyarankan agar semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi dapat mempertingkat kawalan keselamatan aset masing-masing menerusi pemasangan ‘trunking’ besi, pagar keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV), sistem penggera dan sensor.
Pada masa sama, beliau berkata, program kesedaran akan diteruskan pada hujung September ini dengan tumpuan di daerah Kinta membabitkan ketua kampung, ketua Kawasan Rukun Tetangga (KRT), penghulu serta penjawat awam.
Menurut beliau, usaha berkenaan penting bagi memastikan masyarakat di akar umbi dapat memahami keseriusan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta membantu mencegah kegiatan kecurian dan vandalisme kabel telekomunikasi.
“Jawatankuasa Keselamatan Telekomunikasi dan Rangkaian negeri akan bersidang kali kedua pada Oktober nanti dan data serta input yang diperoleh akan dibawa untuk perbincangan sebelum kita mencari pelbagai solusi lain bagi menangani perkara ini,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua lelaki ditahan curi kabel elektrik, sekolah rugi RM50,000


