Rafizi sangkal ‘suara sumbang’ dakwa sistem PADU membazir

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyangkal pandangan pihak tertentu yang dianggapnya sebagai ‘suara sumbang’ yang mendakwa kononnya pembangunan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) adalah satu pembaziran kerana melibatkan kontrak beratus juta ringgit.

Beliau berkata PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam dari tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), yang turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi lain.

Katanya penjawat awam membangunkan PADU dengan menggunakan peruntukan sedia ada, dan segala infrastruktur yang telah ada tanpa perlu membuka tender baru kepada pihak swasta, maka ia tidak melibatkan perbelanjaan tambahan seperti yang selalu berlaku setiap kali ada sistem baru yang diperkenalkan kerajaan.

“Bagi saya, padunya PADU ini kerana ia melibatkan keseluruhan kepakaran dan tenaga penjawat awam, bukan consultant (perunding) dan kontraktor luar,” katanya dalam hantaran laman Facebooknya di sini hari ini.

Menurutnya ia mengatasi pelaksanaan projek-projek sistem yang dikendalikan oleh pihak swasta sebelum ini dari segi keupayaan menyiapkan sistem untuk keperluan kerajaan dan rakyat dalam tempoh yang begitu singkat,” katanya.

Rafizi berkata PADU dibangunkan dalam tempoh masa yang sangat singkat iaitu tujuh bulan (dari Mei hingga Disember 2023) dan tidak akan melibatkan pembayaran setiap tahun kepada penyedia sistem pihak swasta seperti selalu berlaku kerana ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam dan milik kerajaan sepenuhnya.

“PADU berjaya disediakan dalam tempoh yang singkat dan tanpa peruntukan tambahan kerana hasil penat lelah penjawat awam yang bersengkang mata selama tujuh bulan.

“Dari awal, saya telah lontarkan cabaran ini kepada pasukan teras dari Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) dan MAMPU, bahawa PADU ialah satu peluang untuk membuktikan kepakaran yang ada dalam kalangan penjawat awam.

“Memang pasukan teras yang mengusahakan PADU akan terus berdepan dengan cabaran, tetapi jika ada pujian mengenai PADU, pujian itu layaknya kepada penjawat awam,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meluncurkan PADU pada 2 Jan ini, dan selepas itu PADU akan dibuka selama tiga bulan untuk semua warga negara mengesahkan dan mengemas kini data sosio-ekonomi mereka.

“Bila masuk ke PADU nanti, maklumat yang ada dalam semua pangkalan data kerajaan (lebih 270 kesemuanya) memang sudah tersedia. Contohnya maklumat peribadi (nama, kad pengenalan, umur, jantina dll), maklumat pendapatan, maklumat kenderaan, maklumat anak dan tanggungan dan lain-lain.

“Namun ia perlu disahkan dan dikemaskinikan untuk memastikan data kerajaan itu berlaku adil kepada rakyat kerana data dari PADU akan digunakan untuk menyasarkan subsidi kepada golongan yang layak kelak,” katanya.

Rafizi berkata proses membina PADU melibatkan pembangunan sistem data yang paling besar pernah dibuat oleh sektor awam dan mungkin juga paling besar dalam sejarah negara kita.

Ia melibatkan berpuluh perincian data (nama, umur, jantina, isi rumah dan lain-lain) bagi setiap dari 32 juta rakyat Malaysia yang membentuk ratusan juta titik data (data points) di dalam PADU.

“Terima kasih dari saya (secara terbuka) kepada semua penjawat awam dan keseluruhan anggota pasukan dari pelbagai agensi yang telah bertungkus lumus sejak Mei 2023 sehinggalah PADU dapat diluncurkan secara rasmi oleh Perdana Menteri minggu depan,” katanya.

— BERNAMA

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI