IPOH – Hotel Casuarina@Meru dan Casuarina@Kuala Kangsar telah dinobatkan sebagai penerima utama Anugerah Pelancongan Perak 2024, menerusi Anugerah Pengendali Acara Perniagaan Hotel Cemerlang (Excellence in Business Event Hotel Award) dan Anugerah Destinasi Terbaik (Best Destination Award).
Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada majlis tersebut yang diadakan di Hotel Casuarina@Meru malam tadi.
Kejayaan anak syarikat hospitaliti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) yang bernaung di bawah Perak Corporation Berhad (Perak Corp) membuktikan kedua-dua jenama hotel tersebut cemerlang dari segi servis dan kualiti perkhidmatan mereka.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, anugerah tersebut mengiktiraf Casuarina atas kemudahan yang cemerlang dan standard perkhidmatan luar biasa yang ditonjolkan.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Casuarina Meru Sdn Bhd berkata, ia juga adalah satu penghormatan besar dan pengiktirafan kepada kesungguhan, kerja keras serta dedikasi mereka.
“Ini adalah bukti kukuh sokongan kerajaan negeri untuk mengangkat Perak sebagai hab pelancongan premier melalui kempen Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
“Kami berterima kasih kepada Tourism Perak dan tetamu kami kerana pengiktirafan besar ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Redza yakin anugerah itu akan menjadi antara faktor pelanggan menjadikan hotel tersebut sebagai destinasi pilihan penginapan utama apabila bercuti serta berkunjung ke Ipoh.
“Anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk terus mencapai lebih banyak kejayaan dan mengekalkan kecemerlangan dalam industri pelancongan di Perak khususnya,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Casuarina Meru Sdn Bhd, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, menerusi pengiktirafan tersebut, rangkaian Hotel Casuarina akan terus mengangkat martabat industri hospitaliti di Perak.
“Ini seraya menginspirasi seluruh rangkaian untuk terus meningkatkan kualiti dan inovasi dalam setiap aspek perkhidmatan kami.
“Selain itu, anugerah ini adalah penanda aras penting untuk menjadi lebih baik dan lebih banyak akan dilakukan bagi memastikan kepuasan tetamu yang menginap di hotel terjaga.
“Ia adalah bukti keupayaan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penginapan kelas premium, menawarkan hospitaliti terbaik, perkhidmatan dan tempat makan terbaik secara bertanggungjawab dari segi ekologi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lenggong raih enam anugerah pada Perak Tourism Award 2024
Perak hargai peranan ‘influencer’, bantu lonjak industri pelancongan