TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel nelayan bersubsidi selepas menyerbu sebuah jeti perikanan di Hutan Melintang, di sini, awal pagi Sabtu.
Serbuan kira-kira jam 5 pagi itu membawa kepada rampasan 43,000 liter minyak diesel dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1,525,190.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Teluk Intan menerusi Ops Tiris 4.0 hasil risikan dan pemantauan selama sebulan.
“Risikan mendapati terdapat aktiviti sebuah lori tangki memasuki jeti di kawasan berkenaan bagi mengambil minyak diesel yang disimpan di dalam dua tangki skid.
“Kedua-dua tangki itu dipercayai menyimpan minyak diesel nelayan yang disedut dan dipindahkan tanpa kebenaran daripada sebuah bot nelayan milik pemilik jeti berkenaan,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Beliau berkata, susulan itu tiga lelaki warga tempatan berusia antara 33 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan bagi membantu siasatan.
Kata beliau, mereka terdiri daripada pemandu lori, kelindan dan pemilik jeti perikanan berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pemindahan minyak diesel tersebut.
Menurut Kamalludin, siasatan awal mendapati minyak diesel nelayan yang dibeli pada harga RM1.65 seliter dipercayai dijual semula di pasaran gelap pada harga lebih RM4 seliter.
“Hasil pemeriksaan, pasukan penguat kuasa menemukan 43,000 liter minyak diesel selain mengesan aktiviti pemindahan bahan api itu tanpa kebenaran sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang disyaki mempunyai unsur penyelewengan minyak diesel nelayan bersubsidi,” katanya.
Kamalludin berkata, sitaan turut membabitkan sebuah bot nelayan berkapasiti 14,000 liter, sebuah lori tangki berkapasiti 43,000 liter bersama anak kunci, dua tangki skid, hos dan peralatan pemindahan minyak serta sebuah pam elektrik hidraulik.
Katanya, beberapa dokumen berkaitan turut disita bagi membantu siasatan kes berkenaan yang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Manakala badan korporat boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.
Artikel Berkaitan:
KPDN tumpaskan kegiatan seleweng diesel subsidi nelayan, rampasan setengah juta


