RM11 per kg harga ayam tertinggi, terendah RM6.49

PUTRAJAYA – Harga tertinggi ayam yang dikesan setelah diapungkan hari ini dalam pemeriksaan setakat 1 tengah hari adalah RM11 per kilogram (kg) dan terendah RM6.49 per kg.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata harga RM11 per kg itu dikesan dijual di Pasar Basah Rompin, Pahang dan Pasar Basah Manir, Terengganu manakala Mari-Mari Supermarket di Mersing, Johor menjual pada harga RM6.49 per kg.

Dalam pemeriksaan setakat  1 tengah hari itu, beliau berkata hanya 68 premis atau 4.6 peratus daripada keseluruhan 1,484 premis yang diperiksa di Semenanjung Malaysia menjual ayam pada harga lebih tinggi daripada harga siling yang pernah ditetapkan sebelum ini iaitu RM9.40 per kg.

“Apa yang kami lakukan berdasarkan dapatan ini selain meneruskan pemantauan adalah kami memutuskan untuk melihat secara mikro bagi kawasan yang mempunyai jualan (ayam) di atas harga RM9.40, dari segi lokaliti dan jenis premis sama ada kedai runcit, pasar raya atau pasar mini.

 

“Kerana kami ingin memastikan penguat kuasa turun ke premis untuk melihat apa isu sebenar mereka, adakah isu bekalan dan kos operasi sehingga menyebabkan mereka tidak boleh menjual harga di bawah RM9.40,” katanya selepas meninjau harga ayam di Pasar Raya Lotus’s di sini hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada 30 Okt mengumumkan kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 Nov, manakala melanjutkan pemberian subsidi dan harga kawalan telur gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada.

Mohamad berkata penamatan subsidi secara pukal itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi, selain meminta orang ramai tidak membuat pembelian panik dalam tempoh beberapa hari ini memandangkan bekalan ayam dijamin mencukupi.

 

Armizan berkata tindakan pemantauan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga bersekali dengan aspek penguatkuasaan dengan tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dan Akta Persaingan 2010 sekiranya harga ayam yang dijual tidak munasabah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa harga makanan akan meningkat sekiranya ayam dijual pada harga tinggi serta meminta kerjasama pengguna untuk melaporkan kepada KPDN menggunakan saluran sedia ada.

“Itu (peningkatan harga makanan) merupakan satu risiko yang mungkin boleh timbul, iaitu kesan kepada industri lain. Kalau harga makanan tinggi, sila buat aduan di platform yang disediakan. Kami akan periksa pembekal dari mana, berapa kos pengeluaran, margin keuntungan mereka sebelum diambil tindakan,” katanya.

Pengguna yang mempunyai maklumat berkaitan harga barangan atau aduan boleh menyalurkannya kepada KPDN melalui WhatsApp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000, menerusi portal aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my, hubungi pusat kawalan 1-800-886-800, e-mel di e-aduan@kpdnhep.gov.my atau Ez ADU KPDN.

— BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI