IPOH – Kerajaan Perak akan melaksanakan Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan Perak Sejahtera 2030 bagi memastikan agenda pembangunan jangka panjang negeri kekal relevan dan mampu mencapai matlamat menjelang 2030.
Menteri Besar, Saarani Mohamad, berkata kajian itu merangkumi penyelarasan indikator pemantauan, penambahbaikan agenda dan flagship serta pemutihan Dashboard Perak Sejahtera 2030.
Menurutnya, kajian itu juga turut mengambil kira keberkesanan pelaksanaan sedia ada, dapatan libat urus, Perak Policy Research Conference 2026, kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan trend ekonomi baharu.
“Kajian ini telah pun bermula selepas pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif baharu IDR (Institut Darul Ridzuan) dan akan dilaksanakan bersama UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri).
“Kita kena buat sebelum masuk tahun depan kerana biasanya tiap-tiap tahun kita ada State Leadership Retreat (Pemukiman Kepimpinan Negeri),“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030 di Hotel Casuarina Meru, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saarani berkata, sebarang perubahan terhadap Pelan Perak Sejahtera 2030 akan ditentukan berdasarkan hasil kajian yang sedang dijalankan di setiap daerah.
Katanya, kajian itu turut mengambil kira keperluan untuk menjajarkan semula hala tuju pembangunan negeri selaras dengan kerangka RMK13 serta perkembangan trend ekonomi baharu.
“Setiap daerah mempunyai tahap pembangunan dan potensi yang berbeza, justeru pelaksanaan pelan itu perlu disesuaikan mengikut keperluan setempat.
“Ini bergantung kepada hasil kajian setempat sebab kita dapati ada daerah yang telah jauh ke hadapan, ada lagi yang masih terhad, kita ubah suai.
“Dalam buku asal itu dah meletakkan garis panduan bagi setiap daerah, apa niche tiap daerah, ada watak yang tersendiri. Semua mereka akan menumpukan perhatian pada niche tersebut.
“Jika ada kedapatan tidak sesuai, kita pernah ubah kerana Pegawai Daerah dan Jawatankuasa Pembangunan Daerah rasa tidak sesuai, kita ubah dan realign supaya dapat membangunkan daerah itu sendiri dan dapat bersaing antara daerah. Maka persaingan itu adalah persaingan yang sihat,”ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak Sejahtera 2030 berada di landasan kukuh, ‘hasil dirasa, keyakinan dibina‘


