Samun bersenjata: Dua beranak diikat di bilik tidur, ugut bunuh

BAGAN DATUK – Tiga beranak berdepan detik cemas apabila diacu dengan parang dengan dua daripada mereka diikat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah rumah di Parit 15, Jalan Bagan Datuk, Sungai Pulau di Hutan Melintang, dekat sini, pada Isnin.

Mangsa yang berusia 39 tahun, bersama ibunya, 66 tahun dan bapa, 69 tahun diletakkan di bilik tidur rumah tersebut sebelum ia digeledah kumpulan penjenayah terbabit.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 4.14 pagi.

Katanya, susulan itu sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati ketika kejadian mangsa sedang menunaikan ibadah di bilik tidurnya.

Ahmad Adnan berkata, rumah mangsa kemudian dimasuki lima individu yang dipercayai warga asing sebelum memukul belakang badan mangsa menggunakan hulu parang.

“Suspek terus mengacukan parang ke arah leher mangsa dan mengikat kedua-dua belah tangannya.

“Suspek kemudiannya membawa mangsa ke bilik tidur ibu dan bapanya yang ketika itu pasangan warga emas berkenaan sedang tidur.

“Suspek kemudiannya mengejutkan ibu dan bapanya, kemudian suspek terus bertindak mengikat kedua belah tangan bapanya menggunakan cebisan kain cadar di dalam bilik tidur tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kata beliau, suspek kemudian melarikan melarikan barangan kemas, telefon bimbit, beg tangan, wang tunai serta dua motosikal dengan nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM39,500.

Menurut Ahmad Adnan, mangsa dan ahli keluarganya turut diugut bunuh sekiranya mangsa membuat sebarang laporan polis.

Tambah beliau, walau bagaimanapun kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius semasa kejadian terbabit.

Menurut beliau, ketika kejadian kelima-lima suspek dipercayai mengenakan pakaian serba gelap, pelitup muka, dan bertopi ‘baseball’ atau ‘snowcap’ selain bertubuh kurus, sederhana tinggi dan berkulit sawo matang.

“Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan K9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah hadir di tempat kejadian untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan di tempat kejadian telah berjaya menimbulkan sembilan cap jari dan merampas barangan milik suspek yang ditinggalkan semasa kejadian,” jelasnya

Ujar beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes ini boleh menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Fa’eqa Razak di talian 017-4415342 atau 05-6299222. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Warga emas cedera ditetak ketika disamun

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI