Warga emas cedera ditetak ketika disamun

TELUK INTAN – Seorang lelaki warga emas luka di jari telunjuk kanan selepas ditetak dalam satu insiden samun di kediamannya di Taman Indah Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan telefon berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.20 petang.

Menurut Ahmad Adnan siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah teres satu tingkat membabitkan mangsa lelaki berusia 74 tahun dan mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat diitetak suspek sewaktu kejadian.

“Kejadian berlaku sewaktu mangsa berada di rumah seorang diri dan didatangi suspek yang menawarkan kerja pengubahsuaian di bahagian hadapan pagar rumah mangsa.

“Mangsa yang terpedaya dengan tawaran berkenaan membenarkan suspek untuk masuk ke dalam rumahnya sebelum suspek bertindak menolak badan mangsa dengan kuat sehingga terjatuh di atas lantai,” katanya.

Mengulas lanjut Ahmad Adnan berkata, mangsa kemudiannya cuba melarikan diri namun berjaya dihalang oleh suspek dengan menetak tangan mangsa dengan menggunakan sebilah parang.

“Suspek seterusnya bertindak mengikat kedua-dua tangan mangsa menggunakan tuala kecil, sebelum dia bersama dua lagi lelaki yang juga rakannya menggeledah rumah mangsa.

“Kumpulan lelaki terbabit melarikan barangan kemas, jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM3,000, sebuah telefon bimbit serta sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna Perak dengan nombor pendaftaran AKF 7227 milik mangsa,” katanya.

Gambar fotofit suspek dipercayai terlibat dalam kes samun dan tetak warga emas di Teluk Intan.

Ujar beliau, mangsa kemudiannya meminta pertolongan orang awam dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan akibat kecederaan luka terbuka di bahagian jari telunjuk kanan dan menerima lima jahitan.

Ahmad Adnan berkata, Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) Perak turut ke lokasi kejadian dan menemui 11 cap jari dipercayai milik suspek.

“Pengecaman wajah melalui fotofit oleh mangsa ke atas suspek juga telah dijalankan oleh Unit Bantuan Teknik (D6) IPD Hilir Perak dengan hasil pengecaman sebanyak 70 peratus dan kes disiasat di bawah Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes ini boleh menyalurkan maklumat tersebut kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Fa’eqa Razak di talian 017-441 5342 atau 05-629 9222,” katanya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis tumpaskan Geng Boy, tahan tiga lelaki

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI