Santuni MADANI Menteri Pendidikan bawa perubahan kepada Kampung Kuak Hulu

GERIK – Program Satu Pemimpin Satu Kampung atau dikenali sebagai Santuni MADANI yang dilaksanakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berjaya membawa perubahan kepada Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, di sini.

Fadhlina berkata, pelbagai perubahan dapat dilihat selepas peluncuran Program Santuni MADANI Menteri Pendidikan di kampung berkenaan pada September tahun lalu.

Menurut beliau, antaranya adalah pembinaan cerun di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuak Hulu berjumlah RM100,000 yang berjaya disiapkan dan sekali gus menyelesaikan kebimbangan penduduk.

Katanya, usaha yang dilaksanakan ICU dalam mengambil semua permasalahan semasa sesi perkongsian dan permintaan penduduk tahun lalu amat dihargai pihaknya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyantuni orang ramai ketika hadir ke Majlis Berbuka Puasa Madani di Masjid Al Bakri Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 MAC 2025.

“Jadi ada banyak perubahan yang dapat kita lihat sejak September tahun lalu sehinggalah kehadiran saya pada hari ini khususnya komitmen besar daripada pihak ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan).

“Jadi saya fikir Program Santuni MADANI ini telah mencapai hasrat dan aspirasi sebagaimana dikehendaki Perdana Menteri iaitu pemimpin mengambil tanggungjawab penuh atas kampung angkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Berbuka Puasa MADANI di Masjid Al-Bakri, Kampung Kuak Hulu, di sini, pada Ahad.

Terdahulu Fadhlina meluangkan masa kira-kira 15 minit mengunjungi serta beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Pengkalan Hulu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengunjungi serta beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Pengkalan Hulu, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 MAC 2025.

Mengulas mengenai Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama penduduk Kampung Kuak Hulu, Fadhlina berkata, ia merupakan tindakan susulan selepas kedatangan beliau pada September tahun lalu dalam konteks menyemarakkan Program Santun MADANI di bawah Kerajaan MADANI.

“Jadi hari ini kita ada penyerahan beberapa cek cura yang sangat penting pertama untuk masjid berjumlah RM50,000 dan dua lagi untuk fasiliti berkait rapat dengan padang dan futsal.

“Hari ini juga kita mengadakan majlis berbuka puasa dengan rakyat meraikan mereka dan juga bersama asnaf-asnaf yang saya fikir ini juga antara pendekatan yang sangat baik untuk menyantuni masyarakat dan penduduk,” katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyerahkan sumbangan duit raya kepada penerima pada Majlis Berbuka Puasa Madani di Masjid Al Bakri Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 MAC 2025.

Sementara itu, bagi penerima sumbangan Musa Salleh, 71, menzahirkan rasa kesyukuran di atas kesudian Fadhlina menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada orang kelainan upaya (OKU) sepertinya.

Dia yang tinggal bersama isteri dan anak berkata, hampir 40 tahun memakai kaki palsu selepas kehilangan kaki kanan dalam kemalangan jalan raya.

Insiden itu menyukarkannya untuk melakukan kerja berat dan hanya menternak kambing secara kecil-kecilan demi kelangsungan hidup.

“Alhamdulillah saya amat bersyukur kepada Allah serta berterima kasih kepada YB (Yang Berhormat) atas kesudian memberi sumbangan wang kepada kami.

Musa Salleh,

“Dapatlah saya gunakan untuk perbelanjaan harian dan juga membeli barang keperluan hari raya tidak lama lagi,” katanya.

Bersempena penganjuran Program Santuni MADANI pada kali ini, telah diadakan acara penyampaian sumbangan kepada penerima asnaf dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Kuak Hulu.

Turut diadakan adalah acara penyampaian cek cura oleh ICU Perak bagi inisiatif melibatkan naik taraf gelanggang futsal berjumlah RM200,000 dan naik taraf padang bola sepak Padang Chong RM100,000.

Selain itu sebanyak RM50,000 diperuntukkan bagi kerja naik taraf dan baikpulih tandas, tempat wuduk serta kerja-kerja berkaitan di Masjid Al-Bakri.

Program Santuni MADANI merupakan inisiatif kerajaan memberi tumpuan kepada lokaliti di seluruh negara untuk menangani kemiskinan, meningkatkan akses pendidikan, kesihatan, pengangguran, keselamatan, isu sosial, infrastruktur dan alam sekitar. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Santuni Madani: Kampung Kuak Hulu kampung angkat Menteri Pendidikan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI