TAPAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad akan membimbing Dr Mohamad Yusri Bakir menjadi wakil rakyat bertanggungjawab kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menteri Besar Perak itu berkata, meskipun Mohamad Yusri atau lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri baharu sahaja dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, beliau mempunyai pengalaman lama di dalam politik.
“Dia (Ustaz Yusri) orang baharu tapi saya yakin sebab dia sudah lama dalam politik pernah jadi setiausaha UMNO bahagian dan juga pernah ikut arwah Allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Jadi dia tahu apa yang ada dalam kehendak arwah Ishsam semasa buat perancangan dan sudah tentu dia akan sambung kerja-kerja baik itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Pengumuman Rasmi Keputusan PRK DUN Ayer Kuning di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Merdeka Tapah, dekat sini, malam ini.
Saarani turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuklah jentera BN, Friends of BN dan juga Pakatan Harapan yang berkempen memenangkan Ustaz Yusri.
Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi DUN Ayer Kuning yang memberi kepercayaan kepada calon Kerajaan Perpaduan untuk menjadi wakil rakyat mereka.
“Seperti mana kita sebutkan dalam kampen kita InsyaAllah wakil rakyat baharu ini akan melengkapkan kembali bilangan 33 orang ADUN kerajaan dalam DUN Perak.
“YB (Yang Berhormat) baharu ini akan bekerja seperti mana YB kerajaan yang lain. Saya sendiri akan membantu membimbing beliau supaya beliau nanti akan dapat menjadi seorang wakil rakyat yang baik untuk pengundi-pengundi di Ayer Kuning ini,” katanya.
Terdahulu Ustaz Yusri berjaya memenangi PRK DUN Ayer Kuning dengan mempertahankan kerusi yang dimenangi gabungan itu pada PRU15 lalu melalui majoriti 5,006 undi.
Dalam saingan tiga penjuru Ustaz Yusri memperolehi 11,065 undi, sementara dua lagi pencabarnya, Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia – PSM) masing-masing mendapat 6,059 dan 1,106 undi. -MG Perak
Artikel Berkaitan: