Selagi sihat, saya akan terus bantu orang ramai – Yogeswary

SIKAP ringan tulang dan tidak pernah lekang dengan senyuman ketika menghulurkan bantuan khususnya kepada pesakit dan pelawat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh membuatkan mereka gembira menerima pertolongan daripada wanita itu.

Wanita tersebut adalah R Yogeswary, pegawal keselamatan yang ditularkan netizen di media sosial dek kerajinannya membantu orang ramai di hospital tersebut.

Pengawal keselamatan berusia 44 tahun itu mula mendapat perhatian bekas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa yang menzahirkan penghargaan kepada Yogeswary serta semua kakitangan sokongan di setiap fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Anak kelahiran Gerik, Perak itu turut menerima Anugerah Sejahtera Wanita Kategori Pengawal Keselamatan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sempena Majlis Sambutan Hari Wanita 2023 peringkat negeri Perak pada 19 Mac lalu.

Nama Yogeswary sekali lagi menjadi tular apabila dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sewaktu Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 19 Disember lalu.

Selagi sihat, saya terus bantu orang ramai - Yogeswary
Pengawal keselamatan, R Yogeswary, 44, tekun menjalankan tugas di Kompleks Rawatan Harian Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 DISEMBER 2023.

Saya seronok bekerja, memudahkan urusan orang ramai

Ibu tunggal kepada dua orang anak ini memegang prinsip setiap agama menuntut berbuat baik sesama insan.

Dia yang bertugas lebih empat tahun sebagai pengawal keselamatan di hospital berkenaan berkata, sudah menjadi rutin hariannya untuk sentiasa bersiap sedia memberikan bantuan yang diperlukan pesakit dan pelawat.

Tambahnya, tindakan tersebut bukan satu perkara baharu kerana dia sudah mula membantu orang terutamanya guru serta rakan-rakan sejak berada di bangku sekolah.

“Antara tugasan yang selalu saya lakukan termasuklah menjaga parkir pesakit dan membuat tempahan kenderaan bagi memudahkan pesakit pulang ke rumah.

“Ketika saya bertugas di Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi saya sering membantu ibu lepas bersalin serta suami mereka untuk mendapatkan parkir bagi menyenangkan urusan mereka.

“Selain itu, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) juga antara yang sangat susah untuk mendapatkan parkir jadi saya tampil untuk memudahkan pergerakan mereka,” katanya ketika ditemui MG Perak di Kompleks Rawatan Harian HRPB, Ipoh pada Khamis.

Selagi sihat, saya terus bantu orang ramai - Yogeswary
Pengawal Keselamatan, R. Yogeswary, 44, membantu orang ramai yang hadir di Kompleks Rawatan Harian Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 DISEMBER 2023.

Hati berdebar, gelisah

Menyentuh mengenai perasaan Yogeswary ketika kali pertama Menteri Kesihatan menzahirkan penghargaan pada Mac lalu, dia masih tidak dapat melupakan kenangan tersebut.

“Pertama kali ketika tular di kompleks wanita itu dan kemudian menerima penghargaan daripada kerajaan negeri saya rasa gelisah sangat.

“Kemudian, apabila mendapat surat daripada Istana Negara memaklumkan saya adalah salah seorang penerima anugerah daripada baginda tuanku, saya sangat terkejut.

“Mula-mula apabila terima surat saya rasa gementar. Betul ke saya dapat (penganugerahan pingat) itu? Saya terlalu gembira sangat tapi ini semua datang dari masyarakat kepada saya melalui komen-komen baik di media sosial sehingga  sampai ke tangan tuanku.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang tularkan saya dari dulu hingga sekarang dan saya akan melakukan yang terbaik untuk semua orang,” ujarnya.

‘You deserve it’ – Al-Sultan Abdullah

Menceritakan pengalamannya berpeluang melihat baginda Al-Sultan Abdullah secara berhadapan, Yogeswary berkata, perasaannya bercampur baur kerana diberi peluang yang tidak pernah dia bayangkan.

Ujar Yogeswary lebih bermakna apabila baginda bertitah ‘You deserve it’ (anda berhak menerimanya) ketika menyematkan pingat PPN yang diterimanya.

Ungkapan itu membuatkan dia mengucapkan terima kasih berulang kali kepada baginda dan perasaan sebak muncul kerana tidak menyangka diberi pengiktirafan tersebut.

“Mak saya menangis apabila melihat berita di televisyen kerana terlalu gembira dengan anugerah yang saya terima itu,” ujarnya.

Selagi sihat, saya terus bantu orang ramai - Yogeswary
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) R Yogeswary pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 19 Disember lalu. Foto Facebook Istana Negara

Orang biasa juga boleh jejak kaki ke istana

Dalam pada itu, Yogeswary berkata, semua orang boleh berjaya sepertinya dengan syarat setiap perbuatan yang dilakukan perlulah Ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Orang biasa seperti saya pun mampu menjejakkan kaki sampai Istana jadi saya yakin semua sekuriti mesti boleh lakukan perkara sama,” jelasnya.

Dia juga berjanji, selagi tubuh badannya masih sihat, dia akan terus berkhidmat sebagai pengawal keselamatan serta membantu mereka yang memerlukan.

“Selagi masih sihat, saya akan teruskan perjuangan menghulurkan bantuan kepada orang ramai,” ujarnya wanita yang cukup peramah ini.

Pengawal keselamatan R Yogeswary, 44, menerima ucapan tahniah dari orang ramai atas penganugerahan Pingat Pangkuan Negara (PPN) oleh Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 19 Disember lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 DISEMBER 2023.

Sebelum ini, tular di media sosial menceritakan kisahnya yang sering memberi bantuan kepada orang ramai yang berurusan di HRPB.

Hantaran di orang awam di media sosial itu turut memaklumkan bantuan yang dihulurkan antaranya termasuklah mengangkat barang, mengawal lalu lintas, memarkirkan kenderaan, menenangkan pesakit cemas dan mengucapkan tahniah kepada ibu baru bersalin. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Selagi Sihat, Saya Akan Terus Bantu Orang Ramai – Yogeswary

MGPerak: Selagi Sihat, Saya Akan Terus Bantu Orang Ramai – Yogeswary

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI