TANJUNG MALIM – Seorang wanita maut manakala dua cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Kuala Bikam, Sungkai dekat sini pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.28 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya di lokasi didapati kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Perodua Axia.
“Terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki dewasa serta seorang wanita dewasa di dalam Perodua Myvi manakala seorang lagi mangsa lelaki dewasa di dalam Perodua Axia.
“Pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan di bahagian kaki manakala mangsa wanita disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan awam yang berada di lokasi kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan ringan di kaki dan luka di bahagian badan dan kesemua mangsa cedera dihantar ke Hospital Tapah sementara mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


