Sheng Long labur RM140 juta, bawa teknologi makanan akuakultur ke Perak

TAIPING – Pelaburan sebanyak RM140 juta oleh Sheng Long Aqua Technology (M) Sdn. Bhd. (Sheng Long) bagi membangunkan kilang pembuatan makanan ternakan akuakultur pertamanya di Malaysia di daerah ini dijangka mengukuhkan lagi rantaian bekalan industri tempatan.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, anak syarikat kepada Guangdong Haid Group Co., Ltd. (Guangdong Haid) yang berpangkalan di China itu dijadualkan memulakan operasi fasa pertama mereka pada tahun 2028.

Katanya, kilang berkenaan akan menghasilkan makanan ternakan akuakultur berkualiti tinggi dan dilengkapi dengan dua talian pengeluaran makanan udang serta dua talian pengeluaran makanan ikan, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 150,000 tan metrik.

“Daripada segi teknologi, ini memang satu teknologi yang bagus kerana sebelum ini mereka menghasilkan produk di Vietnam dan sekarang mereka beroperasi di Perak, sekali gus menguatkan lagi rantaian sokongan industri huluan dan hiliran tempatan.

“Justeru, melalui pemindahan teknologi syarikat ini ke Taiping, saya berharap industri-industri sampingan turut dapat diwujudkan bagi menyokong industri pembuatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah kilang Sheng Long, di sini, pada Isnin.

akuakultur pelaburan RM140 juta Sheng Long Keyphrase synonyms: pelaburan Sheng Long di Perak, kilang Sheng Long Taiping, pelaburan Sheng Long Taiping, kilang makanan akuakultur Perak 5 Related keyphrase: Sheng Long Aqua Technology kilang makanan akuakultur Taiping pelaburan asing di Perak teknologi makanan ternakan akuakultur industri akuakultur Perak
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim menerima cenderahati pada Majlis Pecah Tanah Sheng Long Aqua Technology (M) Sdn. Bhd di Kamunting, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 OGOS 2026

Hadir sama, Pengarah Eksekutif, Pembangunan Perkilangan (Sumber), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Surayu Susah; Ketua Pegawai Eksekutif, InvestPerak, Dr. Ahmad Shahir Abdul Aziz serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Mohamed Akmal Dahalan.

Menurut Kok Lim, penghasilan makanan ternakan berkualiti tinggi turut dijangka memberi kesan positif kepada industri akuakultur kerana mampu meningkatkan hasil ternakan selain membantu meningkatkan pendapatan pengusaha.

Walau bagaimanapun kata beliau, aspek kelestarian alam sekitar juga perlu diberi perhatian kerana pembangunan industri akuakultur yang mampan akan menyumbang kepada kelangsungan sektor berkenaan dalam jangka panjang.

“Pembukaan kilang ini bukan sahaja akan mengurangkan kebergantungan kita kepada import makanan ternakan akuakultur, malah pada masa sama kita berupaya mengeksport produk tersebut ke pasaran luar,” katanya lagi.

Ujar beliau, perkembangan industri penternakan ikan dan udang yang semakin pesat turut berkait rapat dengan usaha memperkukuh sekuriti makanan negara, sekali gus mewujudkan permintaan lebih tinggi terhadap bekalan makanan ternakan tempatan.

Kok Lim juga berharap produk keluaran Sheng Long bukan sahaja dapat memenuhi keperluan pasaran dalam negara malah mampu menembusi pasaran negara-negara serantau.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim pada sidang media Majlis Pecah Tanah Sheng Long Aqua Technology (M) Sdn. Bhd di Kamunting, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 OGOS 2026

“Saya yakin bahawa selepas syarikat ini memulakan operasinya kelak, ia bukan sahaja akan memacu pembangunan industri makanan ternakan akuakultur Malaysia, malah turut merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan serta menyuntik momentum baharu kepada pembangunan Perak,” katanya.

Sementara itu Surayu berkata, pelaburan berkenaan penting dalam memperkukuh keupayaan Malaysia dalam segmen strategik rantaian nilai agromakanan, khususnya pengeluaran makanan ternakan akuakultur.

Beliau berkata, selain mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, Sheng Long turut digalakkan memindahkan pengetahuan dan kepakaran teknikal kepada tenaga kerja tempatan bagi meningkatkan keupayaan dalam pembuatan makanan ternakan berteknologi tinggi.

“Dengan mengintegrasikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam operasinya, syarikat berkenaan dijangka akan mewujudkan lebih banyak peluang kepada perniagaan tempatan untuk terlibat dalam aktiviti pembuatan bernilai lebih tinggi,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Misi dagang Perak bawa prospek pelaburan RM1.6 bilion

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI