KUALA LUMPUR – Sindiket mengendalikan pertaruhan bola sepak dalam talian berjaya dipatahkan menerusi serbuan Op Soga XI di sebuah unit kedai pejabat di Cheras di sini, semalam.
Serbuan jam 2.40 pagi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dengan menahan seramai 32 warga China.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, daripada jumlah itu, tangkapan melibatkan seramai 29 lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.
“Sindiket ini dipercayai bertindak menguruskan akaun pelanggan, menyelia transaksi dan mempromosikan pertaruhan bola sepak secara dalam talian
“Siasatan mendapati, sindiket ini mengendalikan pertaruhan bola sepak menerusi laman sesawang 6288.com dan menggunakan unit kedai pejabat berkenaan sebagai pusat operasi yang telah beroperasi kira-kira tiga minggu lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Fadil, polis turut merampas 28 unit komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem internet serta pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.
“Kesemua suspek telah direman selama empat hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Tegas Fadil, pihaknya akan terus mempergiatkan Op Soga XI sepanjang berlangsungnya Piala Dunia FIFA 2026.
Katanya, ia akan memfokuskan kepada ejen pertaruhan, penganjur serta individu yang terlibat dalam kegiatan perjudian sama ada secara fizikal mahupun dalam talian. – MalaysiaGazette


