Siti Zaleha dinobatkan Sasterawan Negeri Perak

IPOH – Siti Zaleha M Hashim dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Perak selepas menerima Anugerah Utama Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-8 (HSDR8) hari ini.

Anak kelahiran Taiping itu mengenepikan lebih 330 karyawan lain dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000, sijil penghargaan serta trofi sumbangan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).

Program anjuran kerajaan negeri ini turut mendapat kerjasama Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM150,000.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, acara dwi tahunan itu bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada sasterawan, penulis dan mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang kesusateraan.

Menurutnya, terdapat empat anugerah utama yang dipertandingkan iaitu Sasterawan Negeri, Karyawan Sepanjang Hayat, Ilmuan Negeri dan Pejuang Sastera serta 15 kategori lain.

Siti Zaleha dinobatkan Sasterawan Negeri Perak mengenepikan 330 karyawan lain
Pemenang anugerah Sasterawan Negeri, Siti Zaleha M. Hashim (dua,kiri), pemenang anugerah Ilmuwan Negeri, Dr. Adib Vincent Tung Abdullah (kiri), pemenang anugerah Karyawan Sepanjang Hayat, Dr. Zabidin Ismail (kanan) dan pemenang anugerah Pejuang Sastera, Salina Ibrahim (dua,kanan) pada Majlis Penyampaian Anugerah Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-8 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OGOS 2024.

“Kesemua 330 karya telah dihantar kepada panel penilai yang dilantik oleh DBP dan mereka ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja pemilihan pemenang.

“Perak adalah antara negeri yang secara langsung memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada karyawan dan sasterawan yang berada di negeri ini atau telah bermastautin lebih daripada lima tahun untuk menerima anugerah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-8 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Sabtu.

Selain Zaleha, tiga lagi karyawan yang berjaya merangkul hadiah bagi kategori utama adalah Dr Adib Vincent Tung Abdullah yang menerima Anugerah Ilmuwan negeri serta membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000; Anugerah Sepanjang Hayat diberikan kepada Dr Zabidin Ismail yang menerima hadiah wang tunai RM20,000 dan Salina Ibrahim dianugerahkan Pejuang Saster serta mendapat hadiah wang tunai RM15,000.

Kesemua penerima anugerah utama turut mendapat sijil penghargaan dan trofi. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI