IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenaan berangkat ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak Kali Ke-11, pada Sabtu.
Hadir mengiringi keberangkatan baginda berdua ke majlis yang diadakan di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), dekat sini, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Zakaria Abd Razak.
Majlis yang dianjurkan JAIPk itu sebagai usaha memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada warga pendidik serta murid yang telah memberi sumbangan terhadap sektor pendidikan Islam negeri.
Sultan Nazrin berkenan menyampaikan 20 anugerah pelbagai kategori kepada 107 penerima dalam majlis yang dianjurkan secara tahunan itu.
Mendahului senarai penerima adalah 44 individu yang menerima Sijil Pengajian Masjid bagi sesi 2022/2023 dan 2023/2024, Anugerah Sekolah Terbaik (10 penerima) dan Anugerah Pelajar Terbaik (tujuh penerima).
Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Hafiz Muda 30 Juzuk dan Anugerah Sijil Tahfiz Negeri Perak (STNP) 2023 Mumtaz masing-masing kepada enam dan 16 penerima.
Pada masa sama, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Pendidik 2024 kepada Bekas Pengetua Sekolah Raja Perempuan Taayah, Madihah Mohamad.
Anak kelahiran Rungkup, Bagan Datuk yang berusia 63 tahun itu telah mencapai pelbagai kejayaan dengan membantu sekolah itu sehingga di peringkat dalam dan luar negara.
Antara pencapaian adalah memenangi tiga emas, satu perak, dan satu gangsa Anugerah Khas Juri pada Apperentice Innovation Research Exhibition 2018.
Beliau juga telah membawa Sekolah Raja Perempuan Taayah memenangi Anugerah Persembahan Terbaik dan Khas Juri dalam International Istanbul Harman Fold Children School and Folklore Festival Turki.
Pada majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan menyempurnakan pelancaran Buku Silibus Usrah Badar JAIPk serta Buku Teks Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan (AIMAN).
Buku Silibus Usrah Badar diperkenalkan sebagai panduan komprehensif untuk membina asas keagamaan yang kukuh melalui pendekatan usrah yang menyentuh tema seperti tauhid, feqah, tafsir, hadis dan sebagainya.
Sementara Buku Teks AIMAN diterbitkan untuk pelajar Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Tiga itu bertujuan melahirkan pemimpin dalam kalangan remaja yang akan mengetuai aktiviti keagamaan dalam masyarakat setempat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berkenan pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-267