IPOH – Sebanyak 945 syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas dikenal pasti mempunyai 40,595 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang tertunggak bernilai RM12.18 juta sejak tahun 2023 sehingga kini.
Antara syarikat kenderaan barangan yang merekodkan jumlah tunggakan saman tertinggi adalah KDEB Waste Management Sdn. Bhd. dengan 3,083 saman, Mainiza Mantap Sdn Bhd (889), Boon Chin Transport Sdn Bhd (767), Syarikat Ehsan Enterprise Sdn. Bhd. (482), Tashwin IT Enterprise (321) serta Cahaya Nurani Jaya Sdn Bhd (245).
Bagi syarikat bas pula, Cepat Ekspres Sdn Bhd mencatatkan saman tertunggak tertinggi iaitu 199 saman, Gjg Travel & Tours Sdn Bhd (108), AC Interstate Coach (M) Sdn Bhd (23), Sri Theven Travel and Tours Sdn Bhd (22) serta Star Mart Express Sdn. Bhd. (21).
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, jumlah itu membabitkan 940 syarikat kenderaan barangan dengan 40,222 saman, manakala lima syarikat bas mempunyai 373 saman tertunggak.
Beliau berkata, semua syarikat terbabit diberi tempoh 14 hari bermula Jumaat untuk menyelesaikan keseluruhan saman tertunggak berkenaan.
“JPJ memberi peringatan kepada syarikat-syarikat ini di seluruh negara supaya menyelesaikan semua saman tertunggak dalam tempoh 14 hari.
“Sekiranya syarikat-syarikat ini tidak menyelesaikan semua saman tertunggak dalam tempoh itu, tindakan selanjutnya akan diambil oleh JPJ,” katanya kepada pemberita pada sidang media Ops Tegar di Ibu Pejabat JPJ Perak, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap syarikat yang masih gagal menyelesaikan saman selepas tempoh berkenaan, termasuk kerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menggantung permit operasi.
“Sekiranya kenderaan-kenderaan ini didapati masih berada di atas jalan raya, kita akan mengambil tindakan menahan dan menyita kenderaan tersebut sehingga mereka menyelesaikan saman-saman berkenaan,” katanya.
Aedy Fadly berkata, JPJ turut tidak akan berkompromi dengan syarikat yang berdegil atau terus mengabaikan saman meskipun notis telah dikeluarkan.
Beliau berkata, Ops Tegar dilaksanakan secara bersasar terhadap syarikat pemilik kenderaan dan pemandu yang mempunyai rekod saman tertunggak tinggi serta berulang kali gagal menyelesaikannya.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara alasan diberikan syarikat yang mempunyai saman tertunggak termasuk mendakwa terlupa, kesibukan tugas dan tidak mengetahui mengenai saman yang dikeluarkan.
“Apabila saman sudah melebihi 20 saman dan tertunggak selama bertahun-tahun, kita perlu mengambil tindakan tegas.
“JPJ menegaskan bahawa saman yang dikeluarkan tidak akan dibiarkan sekadar menjadi rekod dan syarikat serta pemilik kenderaan tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pemandu semata-mata,” katanya lagi.
Justeru beliau berkata, syarikat dan pemilik kenderaan perlu memastikan kenderaan serta pemandu di bawah pengurusan masing-masing sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas.
“Ops Tegar membawa mesej yang jelas iaitu saman tertunggak mesti diselesaikan dan kesalahan berulang tidak sewajarnya menjadi satu kebiasaan.
“JPJ akan terus melaksanakan tindakan secara tegas, bersasar dan berterusan terhadap mana-mana pihak yang terus mengingkari undang-undang,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


