SITIAWAN – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis perasmian Masjid Ar-Raudhah, Kampung Tersusun Batu 7 Lekir dekat sini, hari ini.
Ketibaan baginda kira-kira 7.05 petang disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Baginda kemudiannya berkenan menanam pokok Bunga Tanjung atau Mimusops Elengi di pekarangan bangunan sebelum merasmikan masjid itu, diikuti bacaan doa perasmian dan bacaan ayat suci al-Quran.
Sultan Nazrin kemudian berkenan berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 jemaah dan menunaikan solat maghrib berjemaah di masjid berkenaan.
Baginda kemudiannya berangkat ke majlis santapan, diikuti solat isyak serta solat tarawih sebelum berangkat pulang.
Masjid yang mula dibina di kawasan seluas 2.42 hektar pada Januari 2012 itu dan siap sepenuhnya pada awal tahun 2015.
Kos asal pembinaan mencecah RM3 juta dengan RM1.7 juta adalah peruntukan kerajaan manakala selebihnya daripada dana orang ramai.
Pada 2017, sebuah balai lintang dibina melibatkan kos sebanyak RM600,000 yang dikenali sebagai Dewan Ar-Raudhah.
Dewan tersebut dilengkapi bilik mesyuarat, bilik tetamu, bilik rawatan dan balai lintang yang boleh disewa untuk mengadakan majlis perkahwinan atau kenduri.
Laluan berbumbung menghubungkan masjid dengan Dewan Ar-Raudhah siap dibina pada tahun 2020 bagi menampung ramai jemaah terutamanya pada Hari Raya.
Terbaharu, bangunan menara yang dibina pada 2022 dan siap pada September 2023 menelan kos sebanyak RM250,000. – MG Perak
Artikel Berkaitan: