BATU GAJAH – Mangsa nahas yang membabitkan tiga buah kereta di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, di sini Sabtu lepas bersyukur apabila dia sekeluarga terselamat daripada nahas itu.
Mohd Khairil Azlan Abdul Rahman, 38, berkata walaupun ia disifatkan sebagai peluang kedua namun dia dan isteri, Nur Azlinda Abu Kassim, 34, kini mengalami kecederaan yang agak serius.
Mohd Khairil berkata, kemalangan pada petang Sabtu itu mengakibatkan dia mengalami sakit pada bahagian pinggul, sementara isteri patah tulang belakang manakala anak Muhammad Zawawi Khalid, 8 dan Nur Khairina Aazeen setahun, masing-masing mengalami luka pada bahagian kepala.
Dia yang bekerja sebagai pemandu di Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak itu berkata, ketika kejadian dia sekeluarga dalam perjalanan pulang dari rumah ibunya yang terletak kira-kira 1 kilometer (km) dari rumahnya di Batu 6.
Katanya, ketika sedang membelok memasuki laluan ke rumahnya, kereta Perodua Kelisa yang dipandunya secara tiba-tiba dirempuh dari belakang oleh sebuah Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki.
“Akibat daripada rempuhan itu saya seolah-olah tidak sedarkan diri seketika, sehinggalah saya terdengar suara orang ramai yang mahu membantu kami.
“Kemudian, saya melihat isteri saya tidak sedarkan diri manakala anak lelaki saya berlumuran darah pada bahagian kepala,” katanya ketika ditemui di kediaman mertuanya di Medan Bali Emas di Tronoh, dekat sini, pada Jumaat.
Tambahnya, perasaannya semakin resah apabila menyedari anak perempuannya tidak ada di dalam kenderaanya itu dan menyangka anaknya sudah tercampak keluar kesan daripada pelanggaran.
“Selepas sedar anak perempuan saya tiada di dalam kereta, saya sangat sedih. Tambahan badan saya tidak mampu bergerak kerana berasa terlalu sakit.
“Namun, selepas saya dapat tahu anak perempuan saya diselamatkan dan dibawa keluar oleh Datin Norasmariah Basri, saya berasa sangat lega. Syukur, ALLAH hantarkan orang yang baik-baik pada kami.
“Saya tidak menyangka beliau ada kekuatan untuk selamatkan anak saya sedangkan beliau pun terlibat dalam kemalangan,” katanya lagi.
Selain berharap akan keadilan buat isterinya yang sedang terlantar di rumah, Mohd Khairil juga memohon sekiranya ada pihak yang sudi membantu menyumbangkan barang keperluan seperti lampin dewasa dan susu bagi insan tercintanya itu.
Sementara itu, Nur Azlinda yang ditemui berkata dua perkara berkenaan merupakan keperluan yang mendesak ketika ini memandangkan situasinya kini tidak mampu untuk kembali bekerja di sebuah kilang di Bemban, dekat sini.
“Sekiranya dapat, saya sangat berharap untuk bantuan bekalan lampin dewasa dan susu untuk pulihkan kembali tulang belakang saya.
“Selain itu juga, sekiranya ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan ambulans atau pengangkutan untuk saya menjalani rawatan dan pemeriksaan susulan di hospital, amat saya hargai,” katanya lagi.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif terdahulu mengadakan lawatan ke rumah berkenaan selain menyampaikan sumbangan kepada keluarga tersebut.
Ia turut dihadiri Pengurus Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri (PPYN) Perak, Zulhelmie Mustafa, juga mangsa kemalangan, bekas Ketua Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif, dan isteri Datin Norasmariah.
Shaharon Anuar dan Norasmariah ketika ditemui berada dalam keadaan sihat. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Semangat menyelamat tidak pudar walau terlibat kemalangan’ – Shaharon