Gabungan produk lama dan baharu bakal lonjakkan TMP 2024 – Sze Yee

PERAK pernah mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai destinasi popular negara dan menerima anugerah serta tersenarai dalam 10 wilayah terkemuka dunia untuk dilawati oleh portal pengembaraan dunia, Lonely Planet.

Malah, bandar raya Ipoh pula dipilih antara 18 lokasi ‘Underrated oleh Cnn Travel List’ serta tersenarai dalam Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori muzik pada tahun lalu.

Ini menunjukkan industri pelancongan antara penyumbang terbesar kepada sosio ekonomi di Perak sekali gus memberi impak kepada pertumbuhan pembangunan serta masyarakat setempat.

Justeru, demi memastikan kelangsungan industri pelancongan di negeri ini, tumpuan menyeluruh perlu diberikan kepada usaha-usaha ke arah peningkatan produktiviti dan penjanaan ekonomi yang mampan.

MG Perak berkesempatan meluangkan masa menemu bual Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee di Taman DR Seenivasagam baru-baru ini untuk mendapatkan lebih banyak input berhubung sektor pelancongan di negeri ini khususnya sempena penganjuran Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Sze Yee yakin ekonomi pelancongan melonjak sempena TMP 2024
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee (dua,kanan) meninjau sekitar Taman Dr Seenivasagam, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

Persediaan TMP 2024 sudah bermula sejak tahun lalu

Sze Yee yang memegang port folio pelancongan amat komited dalam memastikan sektor tersebut dapat membantu menjana pendapatan bagi menambah hasil ekonomi negeri.

Menurutnya, menerusi TMP 2024 lebih 120 program diatur bagi menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara bagi merancakkan kempen tersebut.

“Sebenarnya, kita telah melaksanakan kempen beberapa bulan sebelum TMP 2024 berlangsung. Antaranya termasuklah memperbaiki struktur asas kawasan pelancongan melibatkan bangunan yang perlu dibaik pulih menggunakan peruntukan khas kerajaan negeri.

“Selain itu, kita turut melakukan promosi untuk mengajak orang luar negeri, negara atau luar bandar sekurang-kurangnya untuk datang ke Perak atau Ipoh melihat sendiri keindahan serta keunikan negeri ini,” jelasnya.

Sasar 8 juta pelancong domestik, 350,000 pelancong luar negara untuk TMP 2024

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 8 juta pelancong domestik manakala 350,000 pelancong luar negara akan datang ke Perak sepanjang kempen TMP berlangsung.

Katanya, terdapat beberapa sebab sasaran yang diletakkan antara pelancong domestik dan luar negara jauh berbeza antara satu sama lain.

“Salah satu sebabnya adalah ia melibatkan kedudukan negeri ini yang terletak di antara utara dan selatan. Biasanya mereka akan melalui negeri Perak dan singgah sebelum ke destinasi yang dituju.

“Tetapi dari segi konteks pelancong daripada luar negara, terdapat sedikit kekangan kerana mereka masuk ke negara ini sama ada melalui pelabuhan atau lapangan terbang.

“Apabila ini berlaku, di Perak, lapangan terbang kita hanya ada penerbangan untuk ke Singapura sahaja. Sasaran kita kepada pelancong luar negara yang masuk secara konsisten adalah daripada Lapangan Terbang Changi, Singapura.

“Jadi, jika pelancong ingin singgah ke Perak, mereka perlu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” ujarnya.

Sze Yee yakin ekonomi pelancongan melonjak sempena TMP 2024
Kellie’s Castle yang terletak di Batu Gajah.
Kellie’s Castle mula dibina pada tahun 1910 oleh seorang peladang getah terkemuka warga Scotland iaitu William Kellie Smith. Bangunan tiga tingkat ini dibina mengikut reka bentuk istana Moghul di India. Foto ABDULLAH YUSOF.

Belum ada berita baik untuk naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS)

Menyentuh permintaan ramai pihak yang berharap LTSAS dinaik taraf, Sze Yee berkata, sebenarnya kemasukan pelancong dari Singapura ke Perak melalui Lapangan Terbang Changi bukan sahaja daripada negara itu tetapi menjadi transit untuk pelancong luar negara yang lain singgah ke negara ini.

Menurutnya, antara pelancong luar negara yang sering transit dari Singapura ke negeri ini adalah dari China dan Australia.

“Sebenarnya, kerajaan negeri sudah melihat kekangan ini dan sudah mengemukakan cadangan serta pandangan kepada kerajaan Persekutuan supaya lapangan terbang di Pulau Pinang dan KLIA hanya menyediakan penerbangan jarak jauh.

“LTSAS yang berada di tengah-tengah bandar ini pula mengambil penerbangan jarak dekat antara tiga hingga ke empat jam di sekitar Asia Tenggara sehingga ke selatan China.

“Sebagai contoh, lapangan terbang di utara boleh tumpukan kepada penerbangan jarak jauh yang boleh memberikan pendapatan lumayan kepada industri mereka di situ.

“Bagaimanapun, kita masih belum mendapat berita baik daripada kerajaan Persekutuan walaupun sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dan membuat permohonan khususnya kepada Kementerian Pengangkutan mengenai perkara tersebut.

“Mungkin mereka menghadapi kekangan tetapi sehingga kini kita masih belum menerima sebarang berita baik berhubung cadangan untuk menaik taraf lapangan terbang,” ujarnya.

Sze Yee yakin ekonomi pelancongan melonjak sempena TMP 2024
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee (tiga, kiri) bergambar kenangan bersama pelancong dari Singapura yang selamat tiba pada 8.20 pagi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, bersempena Tahun Melawat Perak 2024 baru-baru ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

TMP 2024 tumpu kawasan pelancongan baharu

Dalam pada itu, Sze Yee berkata, di Ipoh memang sudah ramai pelancong yang datang terutamanya pada hujung minggu atau musim cuti.

Beliau berkata, kebetulan pada tahun ini adalah sambutan 150 tahun untuk Taiping dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menganjurkan pelbagai aktiviti bagi memeriahkan sambutan tersebut.

“Pada masa ini, kita juga sedang giat menaikkan kluster pelancongan sekitar Batu Gajah iaitu daripada Escape Park sehinggalah ke TT5, Rumah Datuk Lat, Silverlakes Outlet Village, Kellie’s Castle, Taman Herba sehinggalah ke Gopeng.

“Ini adalah kluster yang mampu menarik pelancong kerana mereka melihat produk lama mungkin antara sekali ke tiga kali tetapi mereka tidak akan datang 10 kali untuk lihat produk yang sama.

“Namun, sekiranya kawasan pelancongan lama itu mempunyai beberapa produk baharu, mereka tidak kisah untuk ke tempat lama dan pada masa sama mereka ingin lihat tempat baharu itu.

“Jadi ini akan menambahkan tarikan di negeri ini sekali gus menambah ‘satu malam’ yang membantu menjana pendapatan bagi industri pelancongan di negeri ini,” jelasnya.

Sze Yee yakin ekonomi pelancongan melonjak sempena TMP 2024
Silverlakes Village Outlet mempunyai dua bahagian iaitu West Village dan North Village.
Pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa dijangka akan mula membuka perniagaan masing-masing di situ pada tahun hadapan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Manfaat rakyat menerusi penganjuran TMP 2024

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong berkata, rakyat akan menerima manfaat daripada penganjuran TMP 2024 apabila pelancong berbelanja di negeri ini yang secara tidak langsung melonjakkan ekonomi negeri.

“Sebagai contoh, mungkin ekonomi negeri ini bernilai sebanyak RM10 bilion namun apabila pelancong datang mereka akan membawa masuk RM1 bilion, maka ekonomi negeri ini akan bertambah.

“Ini secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada semua. Apabila mereka datang membawa duit dan sampai kepada penggiat pelancongan perniagaan akan membuat keuntungan.

“Kemudian, mereka akan menggaji lebih ramai orang untuk bekerja. Tidak kira sama ada pemilik atau pekerja bermakna pendapatan akan meningkat dan mereka akan lebih berbelanja di luar.

“Maka keseluruhan pusingan duit yang bergerak dalam ekonomi akan menjana kehidupan yang lebih baik kerana semua orang akan membuat untung, semua orang mendapat lebih gaji, dari situ taraf hidup rakyat Perak akan meningkat,” katanya.

Sze Yee yakin ekonomi pelancongan melonjak sempena TMP 2024
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee (kiri) menyantuni pelancong tempatan di Taman Dr Seenivasagam, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

TMP 2024 turut memainkan peranan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030

Beliau berkata, antara tunjang dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 termasuklah Sejahtera Ekonomi, jadi untuk menjana pendapatan rakyat, semua sektor ekonomi perlu menjanakan hasil yang lebih banyak supaya rakyat Perak mendapat pulangan lebih baik daripada aktiviti ekonomi.

“Pelancongan adalah aktiviti terbaik yang dalam membantu meningkatkan ekonomi negeri tetapi melalui cara yang lebih lestari.

“Kita tidak perlu potong pokok kerana orang sanggup datang dari jauh untuk melihat hutan kita yang cantik. Jadi, tanpa memotong pokok dan menjaga alam semula jadi hutan, kita dapat menjana pendapatan.

“Jadi bila pelancong datang ke Perakmereka akan membawa wang untuk melihat cara hidup kita, budaya dan yang berkaitan serta kita dapat menjana duit daripada situ,” jelasnya.

Katanya, ini adalah salah satu cara terbaik bagi merealisasikan Perak Sejahtera 2030 dengan cara lebih lestari tanpa mengubah alam semula jadi dan sejarah.

Sementara itu, beliau berharap sepanjang berlangsungnya TMP 2024 rakyat Perak boleh menjadi duta kecil dengan mempromosikan serta menunjukkan sikap yang baik kepada pelancong.

“Pertama, kita kena tambahkan senyuman apabila kita jumpa pelancong. Kedua, jagalah kebersihan. Apabila pelancong balik ke negara masing-masing mereka akan ingat keindahan Perak.

“Imej bersih, budi bahasa dan senyuman akan menjadi ingatan kepada mereka,” ‘ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sandrea Ng komited perbaiki mutu perkhidmatan PBT di Perak

TONTON VIDEO:

MGPerak: Bersama YB Sze Yee: Tambah Satu Malam Di Perak Rangsang Ekonomi Rakyat!

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI