LUMUT – Kementerian Pertahanan (Mindef) menyampaikan sumbangan terkumpul sebanyak RM311,174.20 kepada waris mangsa tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi kutipan ‘Tabung Tragedi Lumut 24‘ yang berakhir pada 31 Oktober tahun lalu.
Tabung khas yang ditubuhkan Mindef dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu bertujuan bagi memudahkan warga ATM serta orang ramai menghulurkan bantuan kewangan kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM terhempas yang berlaku pada 23 April 2024.
Menerusi satu kenyataan, Mindef berkata, sumbangan itu disampaikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada waris mangsa yang terlibat pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan bersama Warga TLDM di Kapal Diraja (KD) LEKIU, Pangkalan TLDM Lumut, pada Isnin.
Menurutnya, seramai sembilan waris hadir untuk menerima sumbangan tersebut manakala seorang waris tidak dapat hadir.
“Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyampaikan dua cek cura bagi Senggaraan Rumah Kebajikan Angkatan Tentera (RKAT) dan Blok Penginapan TLDM berjumlah RM70.44 juta dan Skim Pendidikan MADANI berjumlah RM17,950 kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain selaras dengan Fokus Keempat Kementerian Pertahanan Tahun 2025.
“Selain itu, Peruntukan Senggaraan RKAT dan Blok Penginapan Pangkalan TLDM Lumut Tahun 2025 sebanyak RM28.71 juta turut diserahkan kepada Komander Pangkalan Lumut, Laksamana Pertama, Jamaludin Sairi,” katanya.
Pangkalan TLDM Lumut adalah adalah lokasi pertama dikunjungi Mohamed Khaled bagi majlis berbuka puasa bersama warga ATM dengan kehadiran lebih 500 orang warga TLDM.
Hadir sama pada majlis itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Laut dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Mohamad Azuwan Harun.
Dalam perkembangan berkaitan, kenyataan itu memaklumkan seramai 20 warga TLDM termasuk waris yang mempunyai sakit kronik turut menerima sumbangan kebajikan sebanyak RM500 secara sekali bayar (one-off).
“Sumbangan ini adalah antara usaha kementerian untuk meringankan beban para penerima dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan serta persiapan menyambut Syawal yang bakal menjelang tiba,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Helikopter Fennec punca utama nahas korbankan 10 anggota TLDM