SUNGAI SIPUT – Beberapa tanaman hiasan dan rumput di Padang Madani di Taman Orkid, dekat sini, didakwa dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan bahan kimia disyaki racun.
Pegawai Khas Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong merangkap Exco Perak, Voon Kai Cheng berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan kerosakan landskap itu daripada penduduk setempat pada Isnin minggu lalu.
Katanya, tanaman hiasan yang dipercayai sengaja dirosakkan adalah pokok jenis ‘Tabernaemontana’ sementara rumput jenis ‘Axonopus compressus’ atau ‘cow grass’.
![Taman hiasan Padang Madani di Sungai Siput didakwa sengaja diracun Kai Cheng MPKK bahan kimia](https://mgperak.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF10022025_PADANG-MADANI_16.jpg)
“Kami telah membuat aduan kepada Jabatan Landskap Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan hasil siasatan awal oleh jabatan berkenaan dipercayai telah sengaja dirosakkan.
“Terdapat kemungkinan bahawa pokok-pokok yang ditanam dengan sengaja telah disiram atau ditabur dengan bahan kimia sehingga menyebabkan tanaman berkenaan mati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Padang Madani Taman Orkid, dekat sini, pada Isnin.
Kai Cheng yang juga Ahli Majlis MPKK memberitahu, susulan itu pihaknya juga tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput Khamis lalu bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa melakukan siasatan.
Kata beliau, tindakan sengaja merosakkan landskap di Padang Madani berkenaan amat dikesali kerana usaha menaik taraf kawasan rekreasi itu melibatkan dana awam.
Ujar Kai Cheng, dua Padang Madani di Sungai Siput iaitu di Taman Orkid dan Taman Jalong Utara dinaik taraf Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kos berjumlah lebih RM950,000 dan ia dirasmikan Menterinya, Nga Kor Ming pada 25 Januari lalu.
“Tindakan sedemikian mengecewakan dan menimbulkan kemarahan orang ramai. Selain merosakkan kemudahan awam, ia juga menyebabkan pembaziran masa, tenaga dan wang rakyat untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan.
“Jika kerosakan ini tidak berlaku, maka kita tidak perlu keluarkan wang untuk kerja-kerja pembaikan. Dan seterusnya dana berkenaan boleh disalurkan kepada perkara lain yang bermanfaat kepada rakyat,” jelasnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga telah mengusulkan kepada MPKK agar dapat meletakkan papan tanda amaran dan kamera litar tertutup (CCTV) dalam memastikan segala landskap dan infrastruktur di Padang Madani berkenaan terpelihara.
Dalam perkembangan lain, Kai Cheng berkata, pihaknya turut menerima aduan tentang kerosakkan pintu di gelanggang bola keranjang dan badminton di Kampung Sungai Buloh yang terletak kira-kira 3 kilometer (km) dari Taman Orkid.
“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini amat mengecewakan kerana kami menerima aduan, ia berlaku sebanyak lima kali berkenaan hal itu sejak Oktober tahun lalu.
“Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Buloh telah membuat aduan berkenaan perkara itu kepada pihak polis pada tahun lalu, dan saya difahamkan siasatan telah dijalankan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak ambil inisiatif bantu JPKK dirikan Koperasi Sejati MADANI