Terima suapan RM800, Bintara Muda Maritim mengaku tidak bersalah

IPOH: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), mengaku tidak bersalah di Mahkahmah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM800 daripada seorang individu, empat tahun lalu

Tertuduh, Zawawi Abdullah, 42, membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.

Mengikut kertas pertuduhan, Zawawi yang berpangkat Bintara Muda (T6) itu didakwa menerima suapan berjumlah RM800 daripada seorang lelaki berusia 59 tahun yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tertuduh yang ketika itu bertugas di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Selangor melakukan perbuatan terima suapan di sebuah bank di Jalan Sultan Idris Shah, Lumut antara 27 Februari hingga 21 Ogos 2021.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan kemudiannya mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh beserta syarat tambahan, passport perlu diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM.

Zawawi yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan jumlah minimum atas alasan mempunyai tanggungan isteri, anak dan bapa.

Norita kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri di pejabat SPRM Melaka sehingga kes selesai dan tarikh sebutan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam ditetapkan pada 29 Mac depan. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI