TAIPING – Lazimnya, baja organik serta baja kompos dihasilkan daripada najis atau tinja haiwan ternakan seperti ayam, kambing, lembu dan sebagainya.
Namun, Zoo Taiping dan Night Safari (ZTNS) dekat sini mengorak langkah tersendiri apabila berjaya mencipta produk baja yang dihasilkan daripada tinja gajah dengan campuran sisa tumbuhan lain.
Usaha yang digerakkan ZTNS atau Jabatan Zoo di bawah Majlis Perbandaran Taiping (MPT) itu bukan sahaja berjaya menjimatkan 50 peratus kos pengurusan sisa pepejal haiwan liar terbabit, malah membuka peluang kepada penjanaan pendapatan baharu.
Inisiatif yang dilaksanakan di bawah projek ‘Sustainable Zoo: Compost From Animal Dung’ sejak tahun 2021 itu merupakan usaha zoo terbabit memperkasakan kelestarian bumi hijau sebagaimana digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Penolong Pegawai Pertanian ZTNS, Ahmad Rafizam Mat Asin berkata, gajah dipilih sebagai tumpuan projek kerana ia merupakan haiwan yang paling banyak menghasilkan tinja berbanding lebih 1,500 spesies lain yang terdapat di zoo berkenaan.
Katanya, enam ekor Gajah Asia yang terdapat di ZTNS mampu menghasilkan sisa najis antara 300 hingga 500 kilogram (kg) sehari, dengan ia sebelum ini perlu dikumpul serta dihantar ke Tapak Pelupusan Matang untuk dilupuskan secara konvensional.
Jelas beliau, pemilihan tinja gajah sebagai bahan asas kompos dibuat selepas melalui beberapa proses kajian dan ujian makmal, dan mendapati ia sesuai serta berkualiti untuk dijadikan baja.
“Hasil daripada penghasilan baja kompos tinja gajah ini, kami berjaya mengurangkan 50 peratus pelupusan sisa najis gajah di tapak pelupusan.
“Justeru, pada masa hadapan kami menyasarkan agar kita dapat mencapai tahap 100 peratus, iaitu kesemua tinja gajah dapat diproses terus bagi dijadikan baja,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak.
Tambah Ahmad Rafizam, projek itu juga telah didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di bawah kategori hak cipta pada Julai 2023.
“Projek baja kompos tinja gajah itu juga telah menyertai beberapa pertandingan, sama ada di peringkat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahupun peringkat Negeri Perak.
“Antara pencapaian yang diraih menerusi projek ini adalah Naib Johan Anugerah Inovasi Lestari Bumi Hijau sempena Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak pada 2023,” jelasnya.
Inisiatif Pertama di Malaysia
Proses pengumpulan tinja gajah dilakukan dua kali sehari, bermula dengan kutipan sisa najis oleh pekerja di kepungan mamalia darat terbesar itu seawal jam 8 pagi.
Pembantu Veterinar ZTNS, Mohamad Ansar Shamsuddin berkata, selepas dikumpulkan, najis itu dibawa ke Bahagian Landskap MPT untuk menjalani proses pengeringan serta dicampur dengan mikroorganisma bermanfaat (EM), tanah atas, sekam padi bakar dan sabut kelapa.
“Tinja gajah tersebut akan dikeringkan terlebih dahulu selama tiga hari, bergantung kepada keadaan cuaca, sebelum melalui proses pencampuran dengan bahan-bahan organik yang lain.
“Manakala proses pencampuran dilakukan menggunakan mesin pembancuh simen dan mampu menghasilkan antara 300 kg hingga 400 kg baja sehari,” katanya lagi.
Tambah Mohamad Ansar, satu bancuhan boleh menghasilkan 50 pek baja kompos, dengan setiap satu seberat 2.5 kg.
Kata beliau, selain dijual kepada komuniti setempat, baja kompos tinja gajah turut digunakan bagi pengurusan landskap sama ada di ZTNS mahupun kawasan pentadbiran MPT.
Pengarah ZTNS, Dr Muhammad Ridhwan Affendi memaklumkan bahawa projek berkenaan mampu memberi penjimatan besar sekitar RM46,000 meliputi kos logistik, tenaga kerja dan penggunaan bahan api, di samping mengurangkan pelepasan karbon.
“Sebelum ini, kita perlu menghantar sisa ke tapak pelupusan yang memerlukan perjalanan pergi dan balik sejauh 90 kilometer (km) menggunakan lori. Kini, kerja pengurusan sisa berkenaan dilakukan sepenuhnya di kawasan berhampiran zoo.
“Secara tidak langsung, usaha ini boleh diibaratkan seperti ‘waste to cash’, iaitu proses menghasilkan baja kompos sangat rendah kosnya, namun impak penjimatan yang diperoleh sangat memberangsangkan,” jelasnya.
Tambah beliau, ZTNS merupakan zoo pertama di Malaysia yang berjaya membangunkan dan menghasilkan produk baja organik berasaskan tinja haiwan berkenaan secara sistematik.
Malah ujar beliau lagi, pihaknya turut berhasrat untuk mengkomersialkan baja tersebut ke peringkat lebih luas pada masa akan datang.
“Usaha kami menghasilkan sendiri baja kompos tinja gajah serta produk hiliran EM mendapat reaksi positif, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri Perak.
“Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Teh Kok Lim, antara yang membantu membawa projek ini ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
Selain menyokong agenda nasional, usaha ZTNS itu juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar di bawah agenda Kelestarian Alam dan Biodiversiti seperti digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
TMP 2024: ‘Pepe Le Pew’ tarikan baharu Zoo Taiping Night Safari