KUNJUNGAN ke Taiping tidak lengkap jika tidak menjejakkan kaki ke Zoo Taiping & Night Safari, zoo tertua di Malaysia yang wujud lebih 60 tahun lalu.
Dibuka secara rasmi pada 7 Mac 1964, zoo yang pada mulanya diberi nama Taman Mergastua Sultan Idris Shah adalah satu-satunya zoo yang terletak di sebelah utara Semenanjung Malaysia.
Berkeluasan 14.57 hektar, Zoo Taiping & Night Safari ini menempatkan lebih 1,400 spesis haiwan termasuk ikan dan burung serta lengkap dengan laluan pejalan kaki sejauh 2.7 kilometer.
Malah, untuk warga emas dan keluarga yang mempunyai anak kecil boleh menaiki tram atau buggy yang disediakan pihak zoo untuk keselesaan mereka.
Justeru, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping, Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 serta Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Zoo Taiping beberapa spesis haiwan turut ditambah bagi menarik lebih ramai pengunjung datang ke zoo tesebut.
Pengarah Zoo Taiping & Night Safari , Dr Muhamad Ridhwan Affendi berkata, bagi menarik perhatian pengunjung, zoo berkenaan memperkenalkan tarikan terbaharu melibatkan pelbagai spesies burung dan haiwan eksotik yang diimport dari luar negara.
Menurutnya, antaranya termasuklah sepasang Striped Skunk dari Eropah, sepasang Golden Pheasant (Kuang Emas) dan sepasang Lady Amherst’s Pheasant (Kuang Lady Amherst’s dari China.
“Kita juga mengimport beberapa spesis itik iaitu dua pasang Mandarin Duck, dua pasang Carolina Wood Duck dan tiga pasang Ringed Teal, dua pasang burung Violet Turaco dari Africa dan lima pasang Gouldian Finch dari Eropah.
“Tujuan kenapa kita menempatkan haiwan ini adalah kerana ia berwarna-warni serta menghasilkan bunyian yang mampu menarik perhatian pengunjung terutamanya kanak-kanak kerana mereka suka melihat warna dan bunyi-bunyian.
“Striped Skunk juga terkenal dengan salah satu karakter kartun terkenal Looney Tunes iaitu Pepe Le Pew seekor skunk yang sangat romantik di Perancis dan ia boleh mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan bila rasa terancam,” katanya kepada MG Perak.
Tambah spesis haiwan baharu dari semasa ke semasa
Dalam perkembangan berkaitan, Muhamad Ridhwan memaklumkan setakat November 2023 pengunjung ke zoo ini adalah seramai 600,000 orang dan jumlahnya mencecah 700,000 pada Disember tahun lalu.
“Kita pernah menerima jumlah pengunjung yang tinggi pada 2022 iaitu seramai 980,000 orang dan kita berharap angkanya akan meningkat dari semasa ke semasa.
“Bagaimanapun, sudah menjadi adat jumlah pengunjung akan ada naik dan turun sama seperti zoo lain di Malaysia.
“Antara cara untuk menambah pengunjung adalah dengan menambahkan spesis haiwan dan pakej baharu. Kita akan tambah spesis haiwan baharu dari negara Amerika Selatan dan Amazon seperti Capybara, Sloth dan beberapa spesis lain.
“Bagi tarikan terbaharu iaitu skunk, tujuan utama kita menempatkan haiwan itu kerana ia aktif pada waktu malam dan dijangka mampu meningkatkan jumlah pengunjung ke Night Safari.
“Kalau ikut statistik, pengunjung lebih ramai datang ke zoo pada waktu siang jadi kita cuba untuk meningkatkan jumlah pengunjung pada waktu malam dan antara teknik yang digunakan adalah menambah jumlah spesis haiwan yang aktif pada waktu malam.
Beliau amat menggalakkan pengunjung yang datang ke zoo pada waktu siang mencuba pengalaman dengan melawat Night Safari.
“Pengunjung akan menikmati keadaan zoo pada waktu malam dengan bermandikan pencahayaan seperti cahaya serta kita turut menyediakan lampu untuk penjalan kaki.
“Perkara menguntungkan jika mengunjungi Night Safari adalah haiwan yang kurang aktif pada waktu siang akan aktif pada waktu malam.
“Contohnya harimau dan singa yang kadang-kadang tidur lebih daripada 16 jam sehari akan bangun pada waktu maghrib atau malam, jadi pengunjung akan dapat melihat haiwan itu dengan lebih jelas,” ujarnya.
Kos pengurusan haiwan tinggi antara cabaran
Menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi untuk mengekalkan zoo sentiasa berada dalam keadaan terbaik, Muhamad Ridhwan berkata, perkara itu memerlukan perancangan terperinci bagi memastikan ia boleh dilaksanakan.
Katanya, kos tertinggi yang perlu ditanggung zoo tersebut adalah dari segi penyediaan makanan haiwan.
“Kos tertinggi yang dihadapi adalah kos dari segi makanan haiwan kerana kita menyediakan diet yang cukup terperinci bagi haiwan di zoo ini.
“Zoo ini membelanjakan lebih kurang RM4 juta setahun hanya untuk bekalan makanan haiwan. Ini kerana terdapat pelbagai spesis haiwan di sini, jadi makanan yang diberikan pun berbeza,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, pihak Zoo Taiping & Night Safari juga sentiasa memastikan haiwan yang ada di zoo ini berada dalam keadaan ‘top notch’, cantik dan sihat.
“Ini kerana kita mahu pengunjung berasa sangat gembira dan teruja melihat haiwan. Kalau kita pergi zoo lihat haiwan diam dan monyok kita akan rasa kesian.
“Justeru, kita sentiasa menjaga kebajikan haiwan ke tahap tertinggi khususnya mereka yang menguruskan hidupan liar yang semakin terancam,” katanya.
Jalankan konservasi dan pendidikan bagi haiwan semakin pupus
Sementara itu, beliau menjelaskan pihak zoo akan terus menjalankan konservasi dan pendidikan bagi menyampaikan kesedaran kepada orang ramai untuk menyayangi hidupan liar.
“Sekarang kita buat pembiakan burung Botak Upeh di mana kita berjaya melepaskan semula 46 ekor di kawasan zoo dan berjaya membiakkan Harimau Belang Malaya sebanyak tiga ekor yang bersalin pada 2020 sewaktu Covid-19.
“Dalam pada itu, kita juga berjaya menjadi zoo pertama di negara ini yang menghasilkan anak burung merak hijau. Burung ini pernah pupus di Malaysia sejak tahun 1962 dan sekarang kita cuba untuk meningkatkan jumlahnya.
“Pada masa sama, kita ada perancangan untuk melepaskan semula burung itu ke hutan yang dilindungi supaya ia tidak terancam dengan pemburu haram dan sebagainya.
“Sehubungan itu, kita berharap dengan sokongan daripada semua pihak dan orang ramai kita boleh djalankan projek konservasi ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Zoo Taiping dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang manakala Night Safari akan bermula 8 malam sehingga 12 tengah malam sepanjang tahun. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Taiping terima anugerah bandar pelancong bersih ASEAN peringkat kebangsaan
[…] TMP 2024:Pepe Le Pew tarikan baharu Zoo Taiping Night Safari […]