IPOH – Kerajaan Negeri Perak menerusi Tourism Perak mengambil inisiatif menawarkan 3,920 keping baucar pelancongan #PromisingPerak kepada pelancong bagi merancakkan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, insentif khas yang melibatkan kos RM350,000 dilaksanakan sebagai galakan dan promosi untuk memperkukuhkan sektor pelancongan di negeri ini.
Menurutnya, baucar itu berdasarkan siapa cepat dia dapat (first come, first served basis) bermula 1 Februari depan sehingga 31 Januari 2025.
Katanya, tiga jenis baucar bernilai RM150 untuk agensi pelancongan, RM70 bagi pengusaha hotel dan RM30 untuk pengusaha produk pelancongan.
“Program ini melibatkan 65 pemain industri pelancongan melibatkan agensi pelancongan dan pengembaraan; pengusaha hotel dan pengusaha produk pelancongan dalam Perak.
“Hampir 4,000 baucar disediakan dan kita buat secara berperingkat, kemudian kita tengok maklum balas mereka yang tebus baucar.
“Jika baucar ini mendapat sambutan hebat kita akan tambah baucar pada fasa kedua dan ketiga. Bagaimanapun, jika tiada sambutan, tiada keperluan untuk meneruskannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Baucar Pelancongan #PromisingPerak sempena TMP 2024 di Warung Theater @ Cathay by Nifayyi, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Sze Yee menjelaskan insentif khas baucar tersebut pernah dilaksanakan pada tahun 2020 sewaktu pandemik wabak Covid-19 sedang melanda dan matlamat utamanya adalah untuk membantu penggiat-penggiat industri pelancongan pada waktu itu.
“Pada hari ini, TourismPerak sekali lagi mengambil pendekatan proaktif dengan hasrat untuk menggalakkan lebih ramai pelancong berkunjung ke Perak.
“Bukan hanya untuk pengunjung yang melawat tempat-tempat tarikan malahan sehingga ke pelancong bermalam di sekitar negeri ini,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
TMP 2024:Pepe Le Pew tarikan baharu Zoo Taiping Night Safari