TNB Genco, PKNPk santuni 50 keluarga asnaf di Gerik

GERIK – Seramai 50 keluarga asnaf di Kampung Bersia Lama dekat sini disantuni menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hasil kerjasama strategik antara TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), pada Selasa.

Menerusi satu kenyataan, Program ‘Lestari Komuniti Perak’ itu merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkukuh pembangunan komuniti di sekitar Tasik Temenggor dan Chenderoh di sini, serta menyokong agenda nasional ke arah tenaga bersih dan mampan.

Katanya, selain perlawanan bola sepak persahabatan bersama komuniti Orang Asli, sebanyak RM3,000 telah disumbangkan kepada Masjid al-Haruniah di Kampung Bersia Lama serta dianjurkan ziarah kasih.

Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Muhamad Nazri Pazil berkata, usaha tersebut bukan sahaja menyantuni masyarakat, tetapi juga menjadi landasan kepada pelbagai kolaborasi masa depan dalam bidang tenaga hijau, pendidikan komuniti serta pembangunan luar bandar.

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bukan sekadar menyantuni komuniti, tetapi turut memperkukuh reputasi korporat dan hubungan bersama pihak berkepentingan.

“Kita percaya, apabila syarikat dan masyarakat bekerjasama, pembangunan sosioekonomi akan menjadi lebih seimbang dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, kerjasama dengan TNB Genco merupakan langkah awal memperkukuh Agenda Teknologi Hijau Perak Sejahtera 2030.

Kata beliau, kerjasama ti juga merupakan susulan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara TNB Genco dan Perak pada tahun lalu bagi meneroka potensi pembangunan loji Hibrid Hidro Solar Terapung (HHFS) di kawasan tasik dan tadahan air sekitar Hulu Perak.

“Negeri Perak berpotensi menjadi hab utama bagi pembangunan loji jana kuasa solar terapung, sekali gus menyumbang kepada penjanaan sehingga 5.2 gigawatt (GW) tenaga di Semenanjung Malaysia.

“Melalui pembangunan ini dijangka memberi sumbangan positif kepada ekonomi penduduk tempatan. Ia dijangka mencipta peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi serantau melalui kemajuan pembangunan tenaga boleh diperbaharui,” tambah beliau. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PKNPk jalin kerjasama dengan KAB bangun 29 projek tenaga boleh baharu di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI