Tuntutan peneroka haram RM100,000 setiap seekar tanah tidak adil -MB Perak

IPOH – Tuntutan kira-kira 100 peneroka tanah bekas lombong bijih timah di Kampung Tersusun Air Kuning, Kampung Gajah, untuk dibayar pampasan RM100,000 bagi setiap ekar tanah dianggap tidak adil kepada Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani berkata, ini kerana tanah seluas 324.15 hektar berkenaan merupakan milik MB Inc. selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang dipertanggungjawabkan melaksanakan aktiviti perlombongan.

Menurut Saarani, MB Inc. sebelum ini telah menawarkan saguhati berjumlah RM2,000 bagi seekar tanah, namun ia ditolak kumpulan peneroka terbabit.

“Kalau ada yang mengatakan penganiayaan atau pengusiran secara paksa, itu tidak benar kerana pihak MB Inc. telah mengadakan beberapa siri rundingan secara langsung bersama pengusaha-pengusaha tersebut sejak tahun 2021 lagi dan telah menawarkan ex-gratia dengan kadar munasabah.

“Saya tahu mereka tuntut harga RM100,000 seekar dan itu sangat tidak adil kepada MB Inc. kerana tuan tanah pula yang kena bayar sedangkan mereka (peneroka) tidak bayar kepada tuan tanah sebelum ini.

“Bila kita hendak tanah kita balik, kita pula kena bayar RM100,000 seekar dan kita tidak dapat tunaikan syarat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Khamis.

Lebih 100 peneroka gesa aktiviti perlombongan baharu dihentikan
Sebahagian penduduk menunjukkan kain rentang menggesa aktiviti perlombongan dihentikan di kawasan sekitar Kampung Tersusun Air Kuning.

Saarani turut menasihati ke semua peneroka berkenaan agar menerima saguhati yang ditawarkan kepada mereka dan keluar dari tanah yang diteroka secara terhormat.

Mengulas mengenai operasi pembersihan tanah milik MB Inc. itu, Saarani berkata, operasi fasa satu telah dijalankan GLC berkenaan pada 29 Disember 2023 lalu, melibatkan sebahagian kecil kawasan tanaman sawit seluas 8.09 hektar.

Jelas beliau, kawasan berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan tanah pajakan melombong MB Inc. seluas 324.15 hektar yang terletak di kawasan Mukim Pasir Panjang Ulu, Daerah Perak Tengah dan Kampung Gajah.

“Operasi ini dilakukan kerana kawasan terbabit akan dibangunkan sebagai projek perlombongan bijih timah yang dipercayai masih mempunyai potensi mineral yang boleh diterokai sekaligus dapat menjadi hasil baharu yang menyumbang kepada kerajaan negeri.

“Penting bagi MB Inc. selaku GLC yang dipertanggungjawabkan sebagai penggerak mineral negeri untuk membangunkan kawasan ini dan melaksanakan aktiviti perlombongan dengan kadar segera dan penuh tanggungjawab,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri Perak sentiasa komited mengambil pendekatan berhemah dalam menyelesaikan isu berkaitan pengusaha-pengusaha tanpa kebenaran melakukan aktiviti pertanian, penternakan dan perikanan di atas tanah kerajaan atau GLC negeri.

Terdahulu MG Perak melaporkan kira-kira 100 peneroka tanah bekas lombong bijih timah di Kampung Tersusun Air Kuning, Kampung Gajah di sini, meluahkan rasa tidak puas hati dan mahu akvititi perlombongan baharu dihentikan.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Kampung Tersusun Air Kuning, Shuhaini Abdul Shukor, 46, berkata, jika aktiviti perlombongan itu tetap diteruskan tidak mustahil penternak, nelayan darat dan Orang Asli Kampung Chenderong Kelubi akan kehilangan mata pencarian. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lebih 100 peneroka gesa aktiviti perlombongan baharu dihentikan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI