Van bawa 9 penumpang hilang kawalan punca kemalangan maut di Gerik

GERIK – Seorang warga emas maut dalam kejadian kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 23 Jalan Raya Timur Barat Fasa 2 Gerik-Kupang awal pagi tadi.

Insiden sekitar jam 2.30 pagi itu melibatkan kereta jenis Perodua Kenari dinaiki dua individu bersama sebuah van Toyota Hiace dinaiki 10 orang.

Mangsa maut adalah pemandu kereta dikenali sebagai Hassan Hamid, 60 tahun.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik menerima panggilan berhubung kemalangan membabitkan kereta dan van itu daripada orang awam pada jam 4.15 pagi.

“Siasatan awal mendapati van yang dipandu lelaki berusia 21 tahun bersama sembilan penumpang berumur antara tujuh hingga 44 tahun dalam perjalanan dari arah Gerik ke Kupang.

“Manakala kereta yang dipandu mangsa bersama wanita berumur 23 tahun dalam perjalanan datang dari arah bertentangan.

“Ketika tiba di lokasi, van dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta menyebabkan van tersebut terbalik.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala enam yang lain mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Gerik manakala lima mangsa lain tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media petang ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Gerik, Inspektor R Kishen Raj di talian 011-2624929. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI