WCE Beruas-Taiping Selatan, dijangka dibuka menjelang Aidilfitri

TAIPING – Jajaran Seksyen 11 menghubungkan Beruas ke Taiping Selatan di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), dijangka dibuka menjelang Hari Raya Aidilfitri, pada April akan datang.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir.Ts.Dr.Nadzrol Fadzilah Ahmad berkata, bagaimanapun LLM akan berusaha membuka laluan berkenaan lebih awal seperti yang diharapkan Kerajaan Negeri Perak.

Menurut beliau, adalah menjadi keutamaan kepada badan berkanun itu untuk memastikan sesebuah lebuh raya yang siap dibina berada dalam keadaan selamat sebelum dibuka kepada orang ramai.

“Ada usaha untuk membuka Laluan Seksyen 11 ini pada Tahun Baharu Cina dan kita akan cuba, tetapi kita tidak boleh sahkan ia akan dibuka sebelum perayaan berkenaan kerana ia masih subjek kepada faktor keselamatan.

“Kita cuba kalau boleh sebelum Tahun Baharu Cina atau paling tidak suku pertama 2024 dan saya rasa tidak akan sampai bulan April kerana kita ada keyakinan tinggi ia akan dibuka sebelum Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Lawatan Kerja Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama Exco Kerajaan Negeri Perak ke Projek WCE Jajaran Seksyen 11, di Changkat Jering, di sini, pada Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad, Lyndon Alfred Felix berkata, jajaran Seksyen 11 WCE telah siap sebanyak 98 peratus sehingga Disember 2023.

Ujar beliau, jajaran berkenaan sedang berada dalam fasa pemeriksaan dan pemantauan daripada pihak LLM sebelum kelulusan operasi diperoleh pihak WCE.

“Pembinaan sudah siap lebih 98 peratus dan fasa ini (pemeriksaan dan pemantauan) terpaksa dilalui sebelum WCE dapat dibuka dan kita jangka pada suku pertama 2024,” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, WCE amat penting kepada Perak kerana bakal menjadi laluan strategik bagi memperluas jaringan pengangkutan, bukan sahaja antara pekan dan daerah, tetapi juga keterhubungan Perak dengan pusat-pusat pertumbuhan ekonomi bermula dari Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut dan Pelabuhan Pulau Pinang.

“Laluan ini juga penting kerana menjadi pemangkin kepada perancangan Perak dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi di sepanjang jajaran pantai barat selain mengubah landskap pelancongan Perak dengan memudahkan akses ke destinasi-destinasi strategik seiring dengan kempen Tahun Melawat Perak 2024.

“Apabila ianya dibuka kelak, pengguna jalan raya akan mempunyai pilihan laluan alternatif kepada jalan sedia ada untuk ke kawasan pantai barat di Perak seperti Teluk Intan, Manjung, Pulau Pangkor, Beruas, Trong, Changkat Jering dan Taiping,” katanya.

Jajaran Seksyen 11 (Beruas–Taiping Selatan) yang panjangnya 35.5 kilometer merupakan pelengkap kepada jajaran Lebuhraya WCE di bahagian laluan negeri Perak.

Kerja-kerja pembinaan di Seksyen 11 sedang giat dilaksanakan yang mana kini berada di fasa akhir sebelum dibuka kepada trafik. -MG Perak.

Artikel Berkaitan:

Projek pembinaan lebuh raya WISE diluluskan Kabinet – MB Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI