IPOH – Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 tahun ini memberikan tumpuan khusus kepada umat dan dunia Islam dalam membentuk semula wacana global melalui suatu paradigma baharu yang berteraskan kesatuan insan sejagat
Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata, persidangan kali kelapan anjuran USAS ini bertujuan memperkasa umat Islam untuk berfikir semula, menilai semula, mencipta pembaharuan serta menyusun semula peranan dan hala tuju mereka dalam menghadapi perubahan dunia yang semakin pesat.
Menurutnya, bertemakan ‘Everyone Matters – Pride and Unity in Islam’ atau Setiap Insan Dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan’ ia adalah seruan yang jelas khususnya kepada dunia Islam untuk menghayati konsep umat yang satu, serta memimpin usaha muhasabah, refleksi dan pembaharuan diri secara berterusan.
“Sudah tiba masanya untuk membina naratif global yang baharu berteraskan persahabatan, kerjasama dan perkongsian strategik, di samping mengangkat prinsip tanggungjawab bersama dalam memelihara keamanan dan keharmonian sejagat.
“Sebagaimana masyarakat bukan Islam diharapkan menerima umat Islam seadanya, umat Islam juga tidak seharusnya terperangkap dengan perkara-perkara remeh atau tuntutan yang tidak berpijak pada realiti.
“Sebaliknya, umat Islam perlu tampil sebagai rakan strategik dan peserta aktif dalam usaha global untuk membina dunia yang lebih aman, harmoni dan sejahtera,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada WCIT 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina yang turut dihadiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Wan Sabri berkata, apabila umat Islam berada dalam kedudukan yang kukuh, mereka perlu menjadi contoh teladan kepada ummah sejagat dengan menghayati konsep Rahmah lil-‘Alamin, iaitu membawa rahmat dan manfaat kepada seluruh manusia tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang.
“Sebaliknya, jika terdapat kelemahan atau kekurangan, umat Islam perlu mengakuinya dengan penuh keinsafan serta bersikap terbuka untuk belajar daripada pengalaman dan kejayaan pihak lain.
“Sikap angkuh dan merasakan diri sentiasa benar perlu dijauhi kerana ia hanya menghalang kemajuan dan perpaduan,“ jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak khususnya Saarani dan pengasas WCIT yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry atas sokongan berterusan, dorongan serta komitmen yang diberikan dalam merealisasikan penganjuran WCIT 2026.
“Tidak dilupakan juga kepada semua penaja yang telah memberikan sumbangan dan sokongan yang amat bermakna. Keprihatinan, kemurahan hati serta komitmen yang ditunjukkan adalah antara faktor penting yang memungkinkan persidangan ini direalisasikan dengan jayanya,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
WCIT 2024 pentas terbaik bincang isu dunia Islam kontemporari


