IPOH – Kesemua 11 menara komunikasi baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu yang dirancang menerusi pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah siap dibina dan mula beroperasi sejak 31 Julai lalu.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, selain pembinaan menara baharu, sebanyak 47 stesen pemancar sedia ada turut siap dinaik taraf manakala 4,093 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik.
“Sebagai kesinambungan kepada inisiatif terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang dalam proses melaksanakan projek JENDELA 2 di peringkat nasional.
“Projek ini dijangka akan bermula pada suku ketiga tahun ini dan akan siap secara berperingkat dan pelaksanaannya melalui penyediaan dua jenis bentuk penyelesaian iaitu perkhidmatan selular awam (4G atau gabungan 4G dan 5G jika bersesuaian) atau perkhidmatan jalur lebar melalui satelit.
“Pemilihan jenis penyelesaian ini akan ditentukan berdasarkan kaedah pemberian perkhidmatan yang sesuai (fit-for-purpose) dengan mengambil kira faktor seperti kepadatan penduduk, bentuk muka bumi, serta ketersediaan infrastruktur sedia ada berdekatan di tapak.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan penyediaan capaian internet yang menyeluruh kepada kawasan berpenduduk di seluruh negara termasuk di Perak,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohamad Amin Roslan (PN-Pengkalan Hulu) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.
Menyentuh isu gangguan dan ketidakstabilan capaian internet di DUN Pengkalan Hulu, beliau memaklumkan sebanyak 24 aduan berkaitan perkhidmatan internet telah direkodkan sepanjang tahun lalu.
“Bagi tempoh 1 Januari 2026 hingga 31 Ogos lalu, sebanyak 23 aduan melibatkan 11 lokasi telah diterima untuk tindakan lanjut.
“Susulan aduan yang diterima, SKMM Perak telah menjalankan pengujian di kesemua 11 lokasi aduan pada bulan Mei dan Ogos lalu serta sedang mendapatkan penilaian teknikal dan pelan tindakan daripada Pemberi Perkhidmatan yang berkenaan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel berkaitan:
30 menara telekomunikasi baharu bawah JENDELA di kampung Orang Asli


