114 warga asing bekerja tanpa permit ditahan Imigresen Johor

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, menahan 114 warga asing dipercayai bekerja tanpa permit yang sah dalam Ops Belanja dan Ops Selera, di sebuah pasar raya di Tampoi di sini, Jumaat lepas.

Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata, serbuan kira-kira 11.30 pagi itu, dilakukan hasil risikan selama seminggu, susulan aduan awam diterima memaklumkan kewujudan warga asing di premis berkenaan.

Beliau berkata, operasi itu melibatkan 90 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa negeri serta pegawai Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, jabatan itu.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 51 lelaki warga Myanmar, 34 lelaki dan lapan wanita warga Indonesia, 10 lelaki Bangladesh, lapan lelaki Nepal dan tiga lelaki India, dengan kesemua mereka berusia lingkungan 19 hingga 58 tahun.

“Tangkapan dibuat kerana kesemua mereka disyaki gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial, selain melanggar syarat pas ditetapkan,” katanya dalam satu, kenyataan pada Isnin.

Baharuddin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Peraturan 11 (7) (a) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Pada masa sama, kita turut menyeru kepada warga asing agar merebut peluang menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang akan tamat pada 31 Disember depan,” katanya.

— BERNAMA

Artikel Berkaitan:

Lelaki bergelar Datuk dalang Sindiket seludup arak, dadah diberkas

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI