Lelaki bergelar Datuk dalang Sindiket seludup arak, dadah diberkas

PASIR GUDANG – Polis menahan seorang lelaki bergelar “Datuk” dipercayai dalang sindiket penyeludupan arak dan dadah, bersama rampasan berjumlah RM10.37 juta di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Taman Pasir Putih, Seri Alam di sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ahli perniagaan tempatan berumur 46 tahun itu ditahan bersama empat lelaki berumur antara 26 hingga 54 tahun dalam satu operasi khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam.

Beliau berkata pada awalnya, serbuan bermula 11 pagi hingga 8 malam itu dilakukan bagi membongkar sindiket penyeludupan arak, sebelum pihaknya turut berjaya menemukan sebuah makmal mini pemprosesan dadah di premis berkenaan.

“Dalam operasi ini, kita menjumpai sebanyak 7,910 kotak mengandungi 189,840 tin arak tanpa cukai kastam bernilai RM5.53 juta di dalam 11 kontena.

“Pada masa sama, sebuah makmal mini pemprosesan dadah yang digunakan bagi memproses dadah jenis ekstasi turut ditemukan di premis terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Johor DCP M. Kumar.

Kamarul Zaman berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak Jun tahun lepas, dengan menggunakan kawasan perindustrian untuk mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata pihaknya turut merampas sebanyak 22.84 kilogram serbuk ekstasi, 2,320 biji pil ekstasi, 182.90 liter cecair kimia serta peralatan memproses dadah bernilai RM1.79 juta.

Kamarul Zaman berkata turut dirampas 10 jenis kenderaan termasuk kereta mewah Lamborghini dan Range Rover serta pelbagai jenis wata wang dan barang kemas dengan kesemuanya dianggarkan bernilai RM3.04 juta.

Lima individu terbabit ditahan direman selama empat hari bermula semalam, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

–BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI