IPOH – Kerabu amat sinonim sebagai pembuka selera malah hidangan tradisional itu antara makanan yang digemari ramai tanpa mengira lapisan usia terutamanya pada bulan Ramadan.
Hidangan ini dihasilkan setiap hari oleh Rohaida Mustafa, 53, bagi memastikan kerabu yang dijual segar serta memenuhi citarasa pelanggan.
Ibu kepada dua orang anak itu mula berniaga kerabu sejak empat tahun lalu dan ia hanya boleh didapati sewaktu bulan Ramadan.
Menurutnya, kerabu yang menggunakan resipi turun temurun arwah ibunya itu masih mengekalkan harga serendah RM5 hingga RM10 walaupun harga barang mentah semakin naik.
Menurutnya, idea untuk menjual kerabu tercetus apabila mengimbau kembali nostalgia bersama arwah ibunya yang pakar dalam membuat hidangan tersebut.
“Gerai Aneka Kerabu menyediakan 12 jenis kerabu iaitu jantung pisang, pegaga, mangga, salom, bayam brazil, kacang botol dan kerabu somtam betik.
“Turut dijual, kerabu pucuk paku taugeh perut, pucuk paku taugeh kerang, kerabu kaki ayam, acar buah dan pecal.
“Sambutan yang diterima amat luar biasa sehingga pengunjung sanggup beratur panjang sementara menunggu jualan bermula.
“Pengunjung juga rambang mata untuk memilih kerabu mana yang enak untuk dijadikan pembuka selera atau lauk sampingan sewaktu berbuka puasa,” katanya ketika ditemui MG Perak.
Dalam perkembangan sama, Rohaida berkata, antara kerabu yang menjadi kegemaran pelanggan adalah kerabu pucuk paku taugeh perut, pucuk paku taugeh kerang, kerabu kaki ayam.
“Mungkin rasanya yang berbeza kerana kerabu ini menggunakan perut, kerang dan kaki ayam sebagai bahan utama.
“Lazimnya pelanggan yang datang untuk membeli kerabu di sini adalah orang yang sama seperti tahun sebelumnya,” jelasnya.
Dia berkata, jualan makanan tradisional Melayu itu amat laris dan boleh habis sekitar dua jam.
Menyentuh mengenai penggunaan bahan, Rohaida menjelaskan, antara bahan utama yang diperlukan adalah bawang, pucuk paku dan daun pegaga.
Selain itu, dia berkata, bahan-bahan perisa seperti, cili api, asam limau, kerisik dan belacan perlu cukup bagi menjamin kualiti dan rasanya.
“Bagi penyediaan kerabu ini, saya gunakan lebih 3 kilogram (kg) bawang setiap hari selain bahan lain, pucuk paku (3 kg), daun pegaga (2 kg) dan kaki ayam (6 kg).
“Setiap pagi saya akan ke Pasar Borong Menglembu untuk mendapatkan keperluan ini. Ada juga bahan saya dapatkan terus daripada penduduk kampung,” katanya.
Orang ramai yang ingin merasai air tangan Rohaida boleh singgah di gerai Aneka Kerabu yang terletak di Bazar Ramadan Medan Gopeng dan Bazar Ramadan Chandan Desa di Simpang. – MG Perak
Artikel Berkaitan: