14 tahun dalam APM, tragedi bot pom pom karam masih diingatan

KEINGINAN membantu orang ramai sejak kecil lagi menjadi pendorong kepada anak kelahiran Bagan Datuk, Mohd Fazly Mohamad Zawawi untuk menyertai pasukan penyelamat bagi menabur bakti kepada masyarakat,

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk itu, pada mulanya menyimpan hasrat untuk menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas menamatkan pelajarannya.

Bercakap kepada MG Perak, Mohd Fazly berkata, selepas menamatkan pelajaran di Politeknik Tanjung Malim (ketika itu), beliau ditawarkan pekerjaan di Proton di Tanjung Malim selama sembilan bulan.

“Saya kemudiannya ditawarkan sebagai pemandu lokomotif rendah atau dikenali sebagai pembantu pemandu kereta api selama dua tahun setengah di Depoh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Ipoh.

“Dalam tempoh itu saya masih cuba memohon untuk memasuki pasukan penyelamat dan Alhamdulillah pada 2009 saya ditawarkan sebagai Pegawai Pertahanan Awam, lalu tanpa berfikir panjang saya terus menerima tawaran berkenaan,” katanya.

Menurut Mohd Fazly pada mulanya dia kurang mengetahui mengenai tugas seorang Pegawai Pertahanan Awam, namun disebabkan semangat untuk membantu masyarakat mendorong beliau untuk mengikuti rekrut yang ditetapkan.

“Saya telah dihantar ke Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) di Bangi, Selangor selama enam bulan dan Alhamdulillah sepanjang tempoh itu saya semakin memahami tugas saya dan terus bersemangat.

“Selepas menamatkan latihan saya ditempatkan di bahagian operasi bencana di Perak selama setahun sebelum ditukarkan ke Daerah Hilir Perak selama 12 tahun dan kemudian dipindahkan ke Bagan Datuk sehingga sekarang,” katanya.

14 tahun dalam APM, tragedi bot pom pom karam masih diingati
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), memberikan taklimat kepada anggota lain sebelum digunakan untuk tugasan kecemasan di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Bagan Datuk, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 DISEMBER 2023.

Kanak-kanak perempuan tiga tahun lemas segar dalam ingatan

Menceritakan pengalamannya selama 14 tahun dalam APM, Mohd Fazly berkata, segala suka dan duka telah beliau tempuhi namun terdapat satu insiden yang masih kekal terpahat di ingatannya.

Ujar beliau, insiden bot pom-pom karam di perairan Sungai Bernam pada September 2015 yang meragut puluhan nyawa benar-benar meruntun hatinya sebagai seorang penyelamat.

“Ketika kejadian saya sedang menghadiri mesyuarat di Ipoh dan kemudian menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak memaklumkan terdapat kejadian lemas di Sungai Bernam.

“Saya kemudiannya menghantar anggota ke lokasi untuk membuat tinjauan di Bagan Hutan Melintang bagi mendapatkan laporan namun terkejut apabila dikatakan lebih 70 orang mangsa terlibat,” katanya.

Tambah beliau, suasana ketika itu amat tegang kerana ada mangsa ditemui lemas dan ada ditemui dalam keadaan selamat namun jumlah yang terlibat tidak dapat dipastikan.

“Bayangkan ketika itu ada nelayan datang ke jeti mengatakan bahawa pukat mereka terdapat mayat tersangkut bersama ikan yang ditangkap dan kami mengambilnya ketika itu.

“Hampir berpuluh-puluh mayat diselamatkan dan dibawa ke darat oleh pasukan penyelamat melibatkan polis, JBPM dan APMM menggunakan kapal dan bot agensi masing-masing selain dibantu orang awam,” katanya.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia tidak pernah melupakan saat melihat mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan tiga tahun di bawa pasukan penyelamat.

“Suasana ketika itu amat sebak kerana mayat seorang kanak-kanak tidak bernyawa terkulai dalam dakapan anggota penyelamat dan bayangkan kalau itu adalah anak kita.

“Sehingga sekarang saya tidak pernah melupakan saat itu kerana sepanjang 14 tahun berkhidmat bersama APM itulah suasana yang paling memberi kesan kepada saya,” katanya.

14 tahun dalam APM, tragedi bot pom pom karam masih diingati
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk, Kapt (PA) Mohd Fazly Mohammad Zawawi, sedang melakukan semakan maklumat setiba di pejabat beliau, di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Bagan Datuk, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 DISEMBER 2023.

Banyak membantu mangsa banjir semasa di Hilir Perak

Ditanya mengenai sumbangan beliau sepanjang 14 tahun berkhidmat dalam APM, Mohd Fazly berkata, dia tidak pernah memikirkan soal itu kerana apa yang dilakukannya adalah ikhlas tanpa mengharap sebarang balasan mahupun pujian.

Beliau berkata, segala pengalaman yang diperolehnya semasa membantu mereka yang memerlukan merupakan kenangan yang tidak pernah dilupakan malah ada yang masih segar diingatan.

“Bekerja sebagai anggota APM pelbagai pengalaman yang saya dapat dan jika ditanya sumbangan pula amatlah banyak misalnya membantu mangsa banjir, mangsa kemalangan jalan raya serta latihan bersama orang awam.

“Selain itu terdapat juga beberapa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama pelbagai pihak dalam membantu masyarakat yang kami APM turut serta,” katanya.

Mohd Fazly turut berkata, selain daripada tugas menyelamat APM pada 2005 telah dilantik sebagai sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah mahupun negeri.

“Kita telah dilantik sebagai setiausaha dalam sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana yang dipengerusikan Pegawai Daerah di peringkat daerah dan Menteri Besar di peringkat negeri,” katanya.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), memeriksa peralatan di dalam ambulans sebelum melakukan tugasan kecemasan di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Bagan Datuk, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 DISEMBER 2023.

Kes ular dan sarang serangga paling banyak diterima APM Bagan Datuk

Mohd Fazly berkata, selepas lebih 12 tahun berkhidmat di daerah Hilir Perak pada 1 November 2023 beliau telah dipindahkan ke Bagan Datuk bagi berkhidmat di kampung halamannya sendiri.

Menurut beliau, APM Bagan Datuk memiliki kekuatan 50 orang anggota yang bersedia untuk dikerahkan pada bila-bila masa sahaja dalam tempoh 24 jam.

“Dari segi aset bagi logistik APM Bagan Datuk memiliki sebuah lori seberat lima tan, dua buah ambulans, sebuah navara dan tiga biji bot,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah kes yang diterima APM Bagan Datuk, Mohd Fazly berkata sebanyak 1,058 buah kes telah diterima APM Bagan Datuk dari Januari sehingga pertengahan Disember tahun ini.

“Kes paling banyak diterima adalah melibatkan tangkapan ular di mana paling tinggi kami terima adalah sebanyak 88 kes bagi bulan Oktober sahaja.

“Kes kedua tertinggi pula adalah memusnahkan sarang serangga melibatkan tebuan dan lebah, ini kerana Bagan Datuk merupakan kawasan yang pokok termasuklah pokok kelapa,” katanya.

Tambah beliau, selain itu, kemalangan jalan raya juga merupakan antara kes tertinggi yang diterima APM Bagan Datuk selain turut membantu mereka yang sakit menggunakan khidmat ambulans. -MG Perak

TONTON VIDEO:

MGPerak: 14 Tahun Dalam APM, Tragedi Bot Pom Pom Karam Masih Diingatan

MGPerak: 14 Tahun Dalam APM, Tragedi Bot Pom Pom Karam Masih Diingatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI