IPOH – Kolej Komuniti Negeri Perak berjaya melahirkan seramai 15,499 graduan sejak ditubuhkan pada 2001.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Ali Selamat berkata, kolej komuniti berperanan sebagai pemangkin dalam merealisasikan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara maju dan berdaya saing di peringkat global.
Menurutnya, melalui pendidikan berasaskan kemahiran yang relevan dan program latihan terkini, kolej komuniti melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia menghadapi cabaran pekerjaan, tetapi juga mampu memimpin perubahan, mencipta peluang baharu dan mendorong inovasi.
“Dalam era persaingan global yang semakin mencabar, kolej komuniti menunjukkan bahawa pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bukan sahaja relevan tetapi juga kritikal dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten, dinamik dan berintegriti.
“Pencapaian cemerlang ini bukan satu kebetulan tetapi hasil usaha berterusan dan kolaborasi rapat antara kolej komuniti dan industri, selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Perak di Dewan Jubli, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini pada Ahad.
Seramai 859 orang graduan telah diraikan dalam konvokesyen tersebut melibatkan 13 Kolej Komuniti seluruh Perak.
Dalam pada itu, Ali memaklumkan kadar kebolehpasaran graduan Kolej Komuniti telah mencapai 98.6 peratus pada tahun lalu.
“Ini bukan sahaja mengukuhkan reputasi Kolej Komuniti sebagai peneraju dalam bidang pendidikan vokasional malah menjadi bukti memenuhi kehendak pasaran kerja semasa,“ jelasnya.
Selain itu, beliau turut menggalakan graduan supaya menceburi bidang usahawan bagi mencipta peluang untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pertandingan Inno-Tech: Kolej Komuniti Sungai Siput raih tempat kedua