Pertandingan Inno-Tech: Kolej Komuniti Sungai Siput raih tempat kedua

GERIK – Aplikasi agensi pelancongan yang dihasilkan dua pelajar berjaya membawa nama Kolej Komuniti Sungai Siput di tempat kedua pada pertandingan Innovation and Technology (Inno-Tech) Kolej Komuniti Malaysia.

Dalam satu kenyataan memaklumkan, pada pertandingan itu, R Harrish dan K Magalachumi masing-masing daripada Program Sijil Teknologi Maklumat (STM) berjaya menghasilkan aplikasi ‘HOPE: Heaven of Perak’.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM700, piala, medal serta sijil yang disampaikan Ketua Seksyen Teknologi, Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Rohaniah Mohd Nor.

Ia disampaikan ketika majlis perasmian penutup pertandingan Innovation and Technology Kolej Komuniti Malaysia yang turut dihadiri Pengerusi Kolej Komuniti Zon Perak, Meor M.Sharifuddin Meor Shukri serta Pengarah Kolej Komuniti Gerik, Khairil Azhar bin Mohd Nor.

Dalam kenyataan sama, Harrish dan Magalachumi memberitahu, penyertaan kali pertama mereka pada pertandingan itu adalah usaha untuk menyuburkan budaya inovasi serta kreativiti dalam kalangan generasi muda.

“Cabaran lima jam untuk menghasilkan aplikasi ini amat menguji kesabaran dan kreativiti yang tinggi kepada kami.

“Ilmu dan pembelajaran yang diperolehi di dalam kelas sangat membantu kami menyiapkan tugasan ini,” katanya.

Sebanyak 30 kumpulan pelajar STM Kolej Komuniti seluruh negara menyertai pertandingan bagi kategori kategori Mobile Innovators Challenge yang berlangsung selama tiga hari di Kolej Komuniti Gerik.

Dalam pertandingan itu, setiap kumpulan diberi masa lima jam untuk menghasilkan satu aplikasi berdasarkan tema yang telah disediakan.

Manakala sesi pembentangan dilaksanakan sebaik sahaja tamat sesi pembangunan aplikasi tersebut.

Pensyarah pengiring dari Kolej Komuniti Sungai Siput, Azwa Ahmad Anuar berkata, kumpulan pelajar dari kolej komuniti itu menghasilkan aplikasi pelancongan yang mengetengahkan lokasi menarik dilawati di Perak.

Katanya, di bawah nama HOPE: Heaven of Perak, aplikasi berkenaan mempunyai kategori yang memudahkan pengguna mencari tempat pelancongan yang diingini mengikut citarasa mereka.

Kategori berkenaan meliputi, sungai, laut, tempat mencabar, tempat bersejarah serta lokasi santai.

“Aplikasi ini akan membantu pelancong untuk mencari serta melihat tempat-tempat menarik di Negeri Perak.

“Di samping memberi perkhidmatan pelancongan, ia turut menawarkan potongan harga kepada ahli yang mendaftar di bawah agensi pelancongan berdaftar di Negeri Perak. HOPE ini juga dihasilkan sebagai memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kolej Komuniti Chenderoh Perak rangkul anugerah tertinggi di 2nd Hanoi Salon Culinaire

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI