Kolej Komuniti Chenderoh Perak rangkul anugerah tertinggi di 2nd Hanoi Salon Culinaire

IPOH – Kolej Komuniti Chenderoh Perak (KKCP) merangkul anugerah tertinggi ‘Best Culinary Establishment’ pada pertandingan Second Hanoi Salon Culinaire 2023, Hanoi, 21 Nov lepas.

Lebih manis KKCP turut membolot 14 daripada 16 pingat keseluruhan yang dipertandingkan dalam pertandingan tersebut melayakkan mereka memenangi hadiah wang tunai berjumlah VND22 juta atau RM4, 233 berserta trofi dan sijil penyertaan.

KKCP dalam satu kenyataan berkata delegasi diketuai Pensyarah Khairul Ashikhin Abdullah Suhami dan lima pelajar itu berkampung selama tiga hari di Hanoi telah memberikan pendedahan cukup bermanfaat kepada pelajarnya.

“Adalah satu penghormatan untuk memenangi bukan satu tetapi 14 anugerah daripada 16 kategori yang dipertandingkan yang diadili oleh barisan juri professional dari Singapura, Malaysia, Vietnam, Taiwan, China, Switzerland, Australia, Hong Kong, Britain dan Sri Lanka.

“Kemenangan tersebut turut mengiktiraf KKCP berupaya melahirkan pelajar berbakat serta pensyarah yang cemerlang sekali gus mengubah stigma masyarakat terhadap Kolej Komuniti yang merupakan sebuah daripada institusi TVET yang berkualiti dan semestinya pilihan utama kerjaya,” menurut kenyataan itu.

Pertandingan yang dianjurkan di Hanoi International Center for Exhibition itu menyaksikan KKCP turut membawa pulang anugerah Grand Champion; Vietnamese Cuisine Champion menerusi Khairul Ashikhin dan memenangi wang tunai RM1,543.

Bagi kategori Real California Milk Pizza Challenge dirangkul menerusi Muhammad Nabil Hadzrin Hassanudin yang muncul juara bagi kategori pelajar membawa pulang RM578.

KKCP turut membawa pulang tiga pingat emas menerusi Muhammad Fikri Kamaruzaman (Alaska Seafood Pasta), Muhammad Nabil Hadzrin (Nhat Huing Mini Tart) dan Khairul Ashikhin (Hot Cooking Vietnamese Cuisine).

Selain itu, KKCP turut merangkul enam pingat perak dan lima pingat gangsa termasuk dua diploma dalam pertandingan yang turut diadili oleh cef terkemuka dalam bidang kulinari Singapura, Otto Weibel.

Sebelum ini KKCP telah meraih 10 pingat keseluruhan dalam Pertandingan La Cuisine 5th Edition @ SIAL Interfood Indonesia 2023 yang telah diadakan 8 hingga 11 Nov lepas di Jakarta International Exhibition and Arena (JIEXPO), Kemayoran, Jakarta.

Khairul Ashikhin yang juga pensyarah utama KKCP sebelum ini dilantik sebagai Duta Malaysia Lambassador selama setahun oleh Meat & Livestock Australia.

— BERNAMA

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI