16 PATI tinggal lebih tempoh ditahan Imigresen Perak

IPOH – Seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak dalam operasi bermula jam 10 malam pada Isnin dan berakhir jam 12.30 pagi tadi.

Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, kesemua PATI berkenaan ditahan dalam serbuan yang dijalankan Unit Penguatkuasa Pejabat Imigresen Cawangan Lumut di enam premis sekitar Sitiawan, Manjung.

Menurut beliau, serbuan dibuat berdasarkan aduan dan hasil pemantauan yang telah dijalankan pasukannya.

“Dengan kekuatan seramai tujuh Pegawai Imigresen, seramai 24 orang warganegara Malaysia dan pelbagai warganegara asing telah diperiksa.

Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan seramai 16 orang warga asing telah ditahan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Meor Hezbullah, warga asing yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki, lapan perempuan serta seorang kanak-kanak berusia lingkungan tiga hingga 53 tahun.

“Mereka terdiri daripada, dua lelaki dan dua perempuan warga negara Thailand, tiga perempuan warga Myanmar dan masing-masing seorang lelaki warga India dan warga Bangladesh.

“Turut ditahan tiga lelaki bersama tiga perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia,” katanya.

Unit Penguatkuasa Pejabat Imigresen Cawangan Lumut melakukan pemeriksaan ke atas warga asing di sekitar Sitiawan, Manjung. Foto IHSAN JIM PERAK.

Beliau berkata, kesemua 16 orang warga asing tersebut ditahan di Depot Imigresen Lumut, Perak bagi tujuan siasatan lanjut mengikut proses undang-undang di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 di mana mereka didapati masuk dan berada di Malaysia tanpa permit yang sah.

Katanya lagi, ada diantara warga asing turut ditahan di bawah Seksyen15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal atau berada di Malaysia selepas tempoh sah permit yang dikeluarkan tamat dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat permit yang telah dikeluarkan.

“JIM Negeri Perak berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi bersama membantu JIM dalam usaha membanteras kedatangan PATI dalam negara ini.

“Selain daripada PATI, JIM juga akan mengambil tindakan tegas melalui peruntukan undang-undang terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji atau melindungi atau membenarkan keberadaan PATI di premis tanpa permit yang sah termasuk mengambil tindakan pendakwaan di mahkamah,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Imigresen Perak hantar pulang 61 PATI ke negara asal

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI