1,857 individu Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak berdepan sekatan luar negara

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan melaksanakan sekatan ke luar negara bagi individu yang tidak membayar kembali Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak berkuatkuasa 1 Januari 2025.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, ia ekoran terdapat 1,857 peminjam yang enggan membayar semula pinjaman mereka setakat 31 Disember 2023 dengan jumlah tunggakan sebanyak RM16.83 juta.

Menurut beliau, lebih parah lagi ada dikalangan mereka yang enggan membayar pinjaman sudah bekerja selama lima hingga 10 tahun.

“Sebenarnya kita sudah ambil tindakan di mana yang pertama kita sudah hantar surat arahan bayaran balik selain kita hantar bil tuntutan kali pertama dan kedua.

“Kita juga ada cadangkan mereka yang berkhidmat dengan kerajaan akan buat potongan gaji melalui ketua jabatan selain bayaran balik melalui pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

“Insya-ALLAH pada Januari 2025 ini, kita akan laksanakan penguatkuasaan sekatan ke luar negara dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan sebagainya,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Penutup Hari Terbuka Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Festival Makanan 2024 di Dewan Jubli Perak, PUO di sini, pada Rabu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah pada sidang media Majlis Penutup PUO Open Day & Food Festival 2024 di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 SEPTEMBER 2024.

Khairudin berkata, sebagai peminjam pendidikan, individu terlibat seharusnya memikirkan kesan daripada tindakan mereka enggan menjelaskan bayaran pinjaman yang dilakukan.

Jelas beliau, ini kerana kerajaan negeri tidak lagi memperuntukkan dana bagi inisiatif tersebut sejak 2023 dengan Pinjaman Pendidikan Tinggi Negeri Perak menggunakan hasil bayaran semula peminjam untuk diberi kepada penerima baharu.

“Jadi saya seru para peminjam fikirlah generasi akan datang kerana duit ini diguna semula memandangkan mulai Januari 2023 kerajaan negeri tidak memberi peruntukan untuk Pinjaman Pendidikan Tinggi Negeri Perak.

“Adalah tidak wajar mereka yang culas atau malas bayar, akhirnya menjejaskan adik-beradik, sanak saudara yang patut diberi ruang untuk dapatkan pinjaman tetapi tidak dapat diberikan kerana ketidakmampuan kita,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairudin mengakui prestasi bayaran balik pinjaman tersebut sejak kebelakangan ini menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, pada tahun lalu sebanyak RM7.2 juta berjaya dikutip hasil tindakan proaktif pihak pentadbiran malah sehingga 25 September tahun ini sebanyak RM4.8 juta bayaran balik pinjaman berkenaan diterima. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

PTPTN: 430,000 tak bayar balik pinjaman mungkin kena tindakan undang-undang

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI