2,000 peserta warnai Keretapi Sarong Ipoh dengan busana tradisional Malaysia

IPOH – Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini bertukar meriah dengan suasana berwarna-warni apabila kira-kira 2,000 orang menyertai program Keretapi Sarong 2026 sempena sambutan Hari Malaysia, dengan mengenakan busana tradisional dan retro.

Peserta mula berkumpul seawal 7 pagi bagi menyemarakkan program yang mencerminkan kepelbagaian budaya serta etnik masyarakat Malaysia.

Pengasas Ipoh Social Club, Deena Erissa Delaila Mohd Zawawi berkata, majoriti peserta yang hadir pada hari ini adalah dari Perak termasuk dari kawasan Hulu Perak memandangkan program sama turut dianjurkan di beberapa negeri lain.

“Keretapi Sarong kini turut diadakan di negeri-negeri lain termasuk Pulau Pinang. Oleh itu, tumpuan lebih diberikan kepada aktiviti yang berlangsung dalam negeri masing-masing,” katanya ketika ditemui di perkarangan Stesen KTMB di sini, hari ini.

Katanya, penganjuran edisi kelima program yang diadakan sejak 2021 itu terus memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan komuniti melalui aktiviti santai, kekeluargaan dan mudah disertai semua lapisan masyarakat.

2,000 peserta warnai Keretapi Sarong Ipoh dengan busana tradisional Malaysia
Peserta mengenakan busana tradisional pelbagai kaum pada program Keretapi Sarong 2026 yang diadakan di Ipoh hari ini. Foto Rosdalilah Zahari

“Di Ipoh, kita mengatur pelbagai aktiviti antaranya joget lambak, permainan tradisional di setiap checkpoint termasuk aktiviti kemasyarakatan.

“Program ini tidak terlalu rumit kerana kami mahu memberi tumpuan kepada komuniti. Ia lebih kepada konsep hari keluarga untuk orang Perak.

“Kami mahu mengingatkan bahawa perpaduan tidak semestinya memerlukan sesuatu yang besar atau rumit. Aktiviti mudah yang dilakukan bersama-sama dalam kehidupan seharian juga mampu mengeratkan hubungan masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata, program tersebut turut menarik penyertaan daripada pelbagai latar belakang etnik, termasuk masyarakat Cina dan India, selain peserta dari Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, peserta turut berpeluang mengunjungi beberapa premis dan lokasi kerjasama di sekitar Pekan Lama Ipoh, antaranya Arlene House, Toko Kopi Susu, Han Chin Pet Soo Museum dan Hourglass Coffee. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lebih 1,000 meriahkan KS24 Ipoh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI