DODOL merupakan makanan atau manisan tradisional yang dihasilkan secara beramai-ramai dan amat sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari Pekan Parit, masih terdapat keluarga di Kampung Lengkuas yang menghasilkannya dengan menggunakan kaedah dapur bawah tanah dan kayu sebagai bahan bakar.
Setiap kali menjelang Syawal, keluarga Pak Ayob akan berkumpul dan bergotong-royong dalam memasak dodol melalui cara tradisional itu, bermula daripada penyediaan bahan makanan sehingga ia sedia dimakan.
Anak keenam daripada tujuh beradik, Nor Hisham Ayob, 45, berkata kaedah menggunakan dapur bawah tanah itu telah diamalkan keluarganya sejak 30 tahun lalu.
Katanya, proses membuat dapur bawah tanah pada tanah liat itu memakan masa kira-kira tiga jam yang mana ia akan dimulakan selepas waktu Solat Asar.
“Kami hanya akan memasak dodol ini sehari sahaja dalam setahun yang mana ia melibatkan proses menggali dapur bawah tanah dengan kedalaman 0.9 meter.
“Di samping itu, akan ada ahli keluarga lain yang akan menyediakan bahan-bahan membuat dodol antaranya, gula, tepung pulut, dan santan segar,” katanya ketika ditemui MG Perak di kediaman keluarganya di Kampung Lengkuas, Parit.
Menurut penjawat awam itu, lazimnya sebanyak 20 kilogram (kg) boleh dihasilkan sebaik dodol siap dimasak sekitar jam 3 pagi.
Menurut Nor Hisham, walaupun bapanya, Ayob Mohamed Amin telah meninggal dunia enam tahun lalu, mereka masih mempertahankan tradisi unik itu dan menjadi satu-satunya keluarga yang masih memasak dodol menggunakan dapur bawah tanah.
Ujarnya lagi, selain untuk ahli keluarga, mereka turut mengedarkan dodol yang siap dimasak kepada kenalan dan penduduk setempat.
“Dodol yang dimasak menggunakan kaedah tradisional ini amat berbeza kerana aroma dan rasanya lebih sedap berbanding yang dimasak menggunakan kaedah dapur moden,” ujarnya.
Sementara itu, cucu Allahyarham Ayob, Norizatul Ima Abdul Mutalib, 26, memberitahu aktiviti berkenaan amat dinantikannya kerana ia adalah peluang terbaik untuk semua ahli keluarganya berkumpul.
“Sebagai generasi muda, saya merasakan membuat dodol menggunakan kaedah dapur bawah tanah ini tidak sukar sebab kami sudah biasa untuk melakukan secara bersama.
“Saat indah dapat bersama-sama semua ahli keluarga itu yang saya amat suka. Malah jika kami yang muda-muda ini tidak terlibat, siapa lagi yang hendak pertahankan tradisi ini nanti,” jelasnya.
Harap tradisi 30 tahun terus dikekalkan
Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah memberitahu, pihaknya menyambut baik usaha keluarga Pak Ayob yang masih mengekalkan tradisi menghasilkan dodol menggunakan dapur bawah tanah itu.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, ia seharusnya dipertahankan agar dapat menjadi kenangan indah bukan sahaja kepada keluarga, malah penduduk setempat.
Khairudin memberitahu, keluarga Pak Ayob memainkan signifikan dalam mengekalkan tradisi itu tatkala tiada lagi mana-mana pihak lain yang menghasilkan dodol melalui kaedah sama.
“Sudah pastinya saya mengharapkan tradisi seperti ini dapat dikekalkan walaupun nanti mungkin bersilih berganti orang yang melaksanakannya.
“Saya juga berharap ia dapat diwarisi agar mampu menjadi satu bahan sejarah dan kebanggan khususnya buat penduduk di Kampung Lengkuas ini,” katanya lagi. -MG Perak
MGPerak: Pak Ayob Teruskan Tradisi 30 Tahun Dodol Dapur Bawah Tanah
MGPerak: Pak Ayob Teruskan Tradisi 30 Tahun Dodol Dapur Bawah Tanah
Artikel Berkaitan:
Peniaga lemang daun lerek tak menang tangan menjelang Syawal